EKONOMI

FIM 2026 Buka Peluang Lebih Luas Perniagaan Francais, Sasar 30,000 Pengunjung

07/10/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Mei tahun depan dijangka menarik lebih banyak penyertaan syarikat francais dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh daya saing usahawan tempatan.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan berkata penganjuran kali ke-33 FIM yang menampilkan lebih 150 jenama francais dari seluruh dunia itu bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya menjadi pintu masuk kepada peluang perniagaan baharu.

“Untuk FIM 2026, kami menyasarkan lebih kurang 30,000 pengunjung. Berdasarkan program-program lepas, biasanya kami mencapai peningkatan dalam 10 peratus ke atas dari segi sasaran ataupun potensi yang dapat diraih,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran FIM di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Radzali berkata FIM 2025 berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM500 juta serta menarik 25,000 pengunjung.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan potensi besar dan daya tarikan sektor francais walaupun kita berhadapan dengan ekonomi yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata penyertaan FIM 2026 akan dibuka lebih meluas, merangkumi syarikat francais dalam dan luar negara termasuk seluruh ekosistem industri francais.

“Inisiatif ini diyakini akan memberikan nilai tambah yang besar serta memperkukuh lagi impak dan keberkesanan penganjuran FIM,” katanya.

Pameran FIM 2026 akan diadakan di Dewan 1 dan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan lebih 250 ruang pameran disediakan.

Selain peluang mempamerkan produk dan perkhidmatan bagi menarik minat pelabur serta prospek francaisi, FIM turut menawarkan pelbagai aktiviti padanan perniagaan serta sesi segmentasi yang memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.

FIM adalah satu-satunya pameran francais di Malaysia yang mendapat sokongan penuh Majlis Francais Dunia (WFC) dan Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC), membuktikan platform itu paling relevan untuk para penggiat industri mempamerkan tawaran mereka di peringkat domestik dan antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan