Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih rendah pada Selasa susulan pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 8.06 mata atau 0.49 peratus kepada 1,630.03 daripada 1,638.09 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.03 mata lebih rendah pada 1,636.06 dan bergerak antara 1,624.35 dan 1,636.50 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan 717 kaunter rugi mengatasi 368 kaunter untung manakala 463 kaunter kekal tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.48 bilion unit bernilai RM2.99 bilion daripada 3.69 bilion unit bernilai RM2.61 bilion pada Jumaat.
Pengarah Strategi Pelaburan IPPFA Sdn Bhd dan ahli ekonomi Mohd Sedek Jantan berkata penurunan hari ini kekal teratur dan seharusnya dilihat sebagai pengukuhan yang aktif selain bukannya petanda kelemahan struktur.
"Penurunan hari ini dipacu terutamanya oleh pengambilan untung domestik dan bukannya sebarang kemerosotan dalam asas pasaran. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI kekal di atas paras sokongan 1,609 minggu ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare kehilangan 16 sen kepada RM8.19, Maybank turun tujuh sen kepada RM9.95 dan Maxis merosot enam sen kepada RM3.64.
Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.28 manakala Gamuda berkurang tujuh sen kepada RM5.40.
Dalam kalangan saham paling cergas, Borneo Oil dan Pharmaniga masing-masing kekal tidak berubah pada setengah sen dan 28.5 sen.
Syarikat penyenaraian sulung dalam pasaran ACE, Cheeding melonjak 37.5 sen kepada 73.5 sen manakala NexG turun 1.5 sen kepada 7.5 sen dan Tanco merosot 2.5 sen kepada 86 sen.
Selain Cheeding, saham paling untung yang lain termasuk Malaysian Pacific Industries berkembang 48 sen kepada RM31.48 manakala Nestle menambah 36 sen kepada RM97.66 dan Fraser and Neave mengaut 28 sen kepada RM28.28.
Unisem melonjak 21 sen kepada RM3.56 dan PPB lebih kukuh 16 sen kepada RM10.68.
Saham paling rugi termasuk Malayan Cement yang turun 21 sen kepada RM6.73 manakala Kluang Rubber kehilangan 20 sen kepada RM5.50 dan LPI merosot 18 sen kepada RM14.40.
Batu Kawan berkurang 16 sen kepada RM18.82 dan KESM Industries menghapuskan 15 sen kepada RM3.77.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 53.60 mata kepada 12,127.32, Indeks FBM 100 turun 52.62 mata kepada 11,859.85 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 64.37 mata kepada 12,133.34.
Indeks FBM 70 berkurang 48.82 mata kepada 16,965.60 manakala Indeks FBM ACE hilang 22.06 mata kepada 5,311.41.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit sebanyak 0.07 mata kepada 173.59 manakala Indeks Tenaga menyusut 5.56 mata kepada 780.57, Indeks Perladangan kehilangan 26.18 mata kepada 7,793.85 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 63.96 mata kepada 18,571.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.37 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran berkembang kepada 410.23 juta unit bernilai RM392.19 juta daripada 1.12 bilion unit bernilai RM154.52 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 703.19 juta saham bernilai RM316.30 juta daripada 573.35 juta saham bernilai RM182.53 juta sebelumnya.
Di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 357 juta saham yang didagangkan diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (706.90 juta), pembinaan (160.11 juta), teknologi (273.56 juta), perkhidmatan kewangan (63.26 juta), hartanah (196.64 juta), perladangan (25.02 juta), REITs (20.32 juta), dana tertutup (102,000), tenaga (201.89 juta), penjagaan kesihatan (211.33 juta), telekomunikasi dan media (56.26 juta), pengangkutan dan logistik (60.46 juta), utiliti (36.96 juta) serta perniagaan amanah (6,000).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial