SUKAN

Belanjawan 2026: KBS Harap Peruntukan Pembangunan Belia, Sukan Diteruskan

07/10/2025 02:33 PM

SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Belanjawan 2026 terus memberi keutamaan kepada sektor belia dan sukan dengan mengekalkan serta memperkukuh peruntukan sedia ada bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS telah mengemukakan senarai lengkap wishlist kepada Kementerian Kewangan (MOF) termasuk permohonan untuk mengekalkan Geran Padanan Sukan, Dana Sukan Komuniti, serta peruntukan bagi pembangunan di peringkat akar umbi, selain penambahan dana untuk program Road To Gold (RTG) dan pembangunan atlet para.

“Harapan saya semua wishlist KBS dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan. Kami sedar banyak kementerian lain turut mengemukakan permohonan masing-masing, namun kami juga sudah senaraikan keutamaan kami,” katanya mengulas mengenai harapan KBS dalam Belanjawan 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga daripada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Hannah berkata KBS mahu lebih banyak kejohanan antarabangsa dianjurkan di Malaysia bagi memberi pendedahan kepada atlet tempatan, terutama pelapis muda, sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Apabila kita jadi tuan rumah, pelapis-pelapis muda berpeluang bertanding di peringkat tinggi tanpa perlu ke luar negara,” katanya.

Bagi sektor belia, KBS turut memohon peruntukan tambahan bagi memperkukuh program Rakan Muda serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda menjelang pelaksanaan dasar baharu pada 1 Jan 2026, yang menetapkan had umur kepimpinan persatuan belia diubah bagi memberi peluang kepada mereka di bawah 30 tahun, khususnya dari kawasan luar bandar.

”Sokongan bajet amat penting untuk memastikan transisi itu berjalan lancar,” katanya.

Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan