KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Air bawah tanah perlu dijadikan sumber bekalan strategik negara dan diurus secara mampan bagi menjamin keselamatan bekalan air jangka panjang serta ketahanan menghadapi perubahan iklim, menurut Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
Pengerusinya Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata penggunaan air bawah tanah secara konjunktif bersama air permukaan mampu meningkatkan kecekapan sistem bekalan air serta berfungsi sebagai simpanan penting ketika musim kemarau atau krisis air.
“Jawatankuasa mengesyorkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadikan air bawah tanah sebagai sumber bekalan strategik negara, khususnya sebagai simpanan jangka panjang yang boleh diaktifkan semasa musim kemarau atau situasi kecemasan,” katanya ketika sesi penerangan Penyata DR.20 Tahun 2025 mengenai Potensi dan Hala Tuju Air Bawah Tanah di Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi besar sumber air bawah tanah namun penggunaannya masih rendah, selain berdepan cabaran pengurusan sumber air, tekanan pembangunan pesat, serta kesan perubahan iklim yang menyebabkan pengurangan hujan tahunan hingga 22 peratus.
Ahmad Amzad berkata perkara tersebut merupakan antara lapan syor utama yang dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan, meliputi tiga syor bagi pengurusan sumber air bawah tanah, dua bagi teknologi dan inovasi serta tiga lagi berkaitan tadbir urus dan perancangan strategik.
Beliau turut menekankan keperluan penerapan teknologi moden seperti Internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan kembar digital bagi memperkukuh pemantauan serta pengurusan sumber air bawah tanah secara bersepadu.
Terdahulu, penerangan berhubung penyata itu dibahaskan oleh lima Ahli Parlimen iaitu Tan Hong Pin (PH-Bakri), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing).
Tan berpandangan kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan meningkatkan kualiti air permukaan sebelum meneroka air bawah tanah secara besar-besaran.
“Kadar NRW negara masih tinggi iaitu sekitar 37 peratus pada 2023, manakala beberapa negeri mencatatkan lebih 50 hingga 60 peratus. Masalah sebenar bukan kekurangan air, tetapi tadbir urus dan infrastruktur yang lemah,” katanya.
Beliau turut menegaskan penerokaan sumber air bawah tanah berisiko menyebabkan penurunan tanah, intrusi air masin dan pencemaran bawah tanah yang sukar dipulihkan, justeru perlu dilakukan secara berhati-hati dengan penilaian saintifik yang menyeluruh.
PETRA; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Agensi Angkasa Malaysia.
“Kerjasama strategik antara agensi ini perlu diperkukuh bagi menyelaras dasar, membangunkan pangkalan data berpusat serta melaksanakan pembangunan sumber air bawah tanah secara terancang dan mampan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pendidikan awam dan kesedaran komuniti untuk melindungi kawasan imbuhan akuifer serta memastikan pembangunan dijalankan secara lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial