AM

RM450 Juta Diperuntuk Perkasa Penglibatan Kontraktor Kecil Bumiputera

07/10/2025 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi memperkasakan penglibatan kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4 dalam projek penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan berkata ia melibatkan sebanyak 664 kontraktor kelas G1 hingga G4 yang terpilih melalui kaedah perolehan secara undian, dengan kerja-kerja terbabit dijangka siap sepenuhnya pada 30 Okt ini.

Beliau berkata usaha itu bagi memastikan kontraktor tempatan terus diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembinaan dan penyelenggaraan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) termasuk di Langkawi.

“Dasar ini juga selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menekankan pembangunan ekosistem industri pembinaan secara inklusif dengan memberi tumpuan kepada penglibatan kontraktor kecil tempatan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaksanakan Program Mempercepat Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor G1 hingga G4 yang membolehkan kontraktor kecil dilantik melalui kaedah cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung dasar KKR dalam memastikan penglibatan kontraktor tempatan khususnya dari Langkawi, dalam projek pembinaan dan penyelenggaraan serta usaha memperkasakan kontraktor G1 hingga G3.

Ahmad berkata KKR melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sentiasa melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti dan keusahawanan kontraktor tempatan termasuk Program Accelerator for Construction Entrepreneurs (ACE) dengan tumpuan kepada pembangunan kontraktor belia bumiputera gred G1 hingga G4 yang kini telah melatih lebih 300 kontraktor sejak 2022.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan