POLITIK

Empat ADUN STAR Kekal Sokong GRS - Hajiji

06/10/2025 07:00 PM

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Datuk Ellron Angin bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, hari ini menyatakan pendirian untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kesemua wakil rakyat berkenaan kepadanya susulan keputusan Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan, untuk menarik parti itu keluar daripada gabungan tersebut minggu lepas.

“Mereka telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka menyokong GRS,” katanya pada sidang media khas di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Selain Ellron yang juga ADUN Sook, tiga lagi ADUN STAR yang terus menyokong GRS dan hadir pada majlis perjumpaan khas dengan Hajiji hari ini ialah Datuk Flovia Ng (Tulid), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Annuar Ayub (Liawan).

Hajiji berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi.

Hajiji menegaskan Majlis Presiden GRS dalam mesyuarat baru-baru memutuskan bahawa mana-mana parti komponen gabungan itu yang bertanding menggunakan logo selain logo GRS, keahlian mereka tergugur secara automatik daripada GRS. 

Ditanya sama ada kemungkinan GRS terutama parti komponennya Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berdepan calon-calon daripada STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP), Hajiji yakin gabungan itu mampu menandingi mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan