KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Hospital Pakar Damansara (DSH) di bawah kumpulan KPJ Healthcare melancarkan Unit Penjagaan Harian Onkologi (ODCU) yang telah dinaik taraf, sempena Pink October 2025.
DSH dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, sekali gus menandakan satu langkah maju dalam usaha berterusan DSH untuk memperkukuh penjagaan pesakit kanser serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal.
Menurut kenyataan itu, ODCU menyediakan pelbagai terapi komprehensif termasuk kemoterapi dan rawatan sasaran seperti terapi hormon, perencat angiogenesis, imunoterapi dan antibodi monoklonal.
"Ia juga menyediakan ubat penguat tulang untuk pesakit dengan metastasis tulang, selain penjagaan paliatif dan sokongan penjagaan yang fokus kepada pengurusan simptom dan kualiti hidup.
"Fasiliti yang dinaik taraf kini menampilkan suasana lebih segar dan menenangkan, dengan rekaan dalaman yang diperbaharui serta bilik rawatan khas untuk prosedur kecil. Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen DSH dalam memastikan keselesaan, privasi dan penjagaan holistik pesakit," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan menyifatkan fasiliti di ODCU yang dinaik taraf mencerminkan kepercayaan kumpulan itu bahawa penjagaan kanser yang cemerlang melangkaui rawatan perubatan.
"Di DSH, kami terus meningkatkan perkhidmatan dan kerjasama agar lebih ramai orang dapat menjalani saringan dan rawatan tepat pada masanya di dalam persekitaran di mana mereka berasa selamat dan disokong," katanya.
Dalam kenyataan sama, Ketua Jabatan Onkologi DSH Prof Madya Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin berkata walaupun kanser payudara adalah satu daripada kanser yang paling mudah dirawat, ramai pesakit masih didiagnosis pada peringkat lewat.
“Kami melihat lebih ramai wanita muda didiagnosis, termasuklah ketika mereka hamil. Ramai pesakit masih dikesan pada peringkat lanjut, walaupun kanser payudara adalah antara yang paling mudah dikenal pasti melalui saringan. Apabila dikesan awal, kadar kelangsungan hidup adalah tinggi, namun apabila ia merebak, rawatan menjadi lebih rumit, mahal dan memberi kesan besar kepada kehidupan pesakit.
“Di DSH, pasukan pelbagai disiplin kami yang terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas sokongan bekerjasama rapat untuk memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang penuh empati dan memperkasakan mereka. Dengan penambahbaikan ODCU ini, kami berhasrat untuk menyediakan suasana penyembuhan dengan pesakit dan keluarga dapat mencari kekuatan serta harapan bersama-sama,” katanya.
Kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap menyerang wanita Malaysia, merangkumi hampir satu pertiga daripada keseluruhan kes kanser dan walaupun tahap kesedaran meningkat, ramai masih didiagnosis pada peringkat lewat.
Kenyataan itu menyebut DSH akan terus memainkan peranannya dengan memperluas akses kepada saringan awal, kepakaran pelbagai disiplin dan inisiatif pendidikan pesakit yang menggalakkan pengesanan awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial