AM

WTD 2025 Dijangka Bantu Melaka Capai Sasaran 16.5 Juta Pelancong Tahun Ini

23/09/2025 09:06 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Sept ini dijangka membantu Melaka menarik 16.5 juta pelancong, dengan unjuran pendapatan RM23.48 bilion pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam kenyataan memaklumkan acara berprestij anjuran Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dengan kerjasama erat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan negeri itu secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pelancongan serantau.

Beliau berkata acara pelancongan bertaraf antarabangsa bertema ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’ itu memberi penekanan kepada kelestarian, keterangkuman dan inovasi dalam sektor pelancongan.

“Sambutan WTD 2025 menampilkan pelbagai program sampingan untuk rakyat dan pelancong antaranya Pesta Layang-Layang Antarabangsa, persembahan seni budaya seperti tarian zapin dan warisan dengan jangkaan penyertaan lebih 3,000 orang dan Pesta Konda Kondi Melaka 2025.

“Selain itu, Karnival Usahawan Melaka 2025 turut diadakan dan ia dijangka menghimpunkan lebih 60 usahawan tempatan selain memperkenalkan sesi padanan perniagaan dengan sasaran transaksi bernilai RM10 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ab Rauf berkata menerusi penganjuran acara berkenaan juga, kerajaan negeri menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) melalui dua kategori utama iaitu Gabungan Persembahan Zapin Serentak Teramai Dalam Satu Acara di Malaysia dan Pertandingan Konda Kondi Pertama di Malaysia.

Beliau berkata selain itu, Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca yang juga anak tempatan dan individu Asia pertama mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16 turut diadakan bagi memeriahkan sambutan WTD 2025.

Menurut Ab Rauf, antara bahan pameran eksklusif yang dipamerkan termasuk wasiat Ferdinand Magellan (1519) yang mencatatkan nama Enrique sebagai pemuda Melaka di kapal Trinidad dan Daftar Armada Maluku ‘Rol de la Armada Magellan 1519’ yang mengiktiraf Enrique sebagai jurubahasa rasmi Magellan.

“Pelancaran ini menandakan komitmen negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negara, sekali gus mengukuhkan reputasi Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul yang kaya warisan, budaya dan inovasi.

“Lebih bermakna, penganjuran WTD 2025 dan WTC 2025 turut menarik liputan media antarabangsa yang diyakini mampu memperkukuh imej Melaka di persada dunia, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kemuncak sambutan WTD 2025 ialah Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar antara artis yang akan membuat persembahan pada acara kemuncak itu, selain pelbagai acara menarik termasuk persembahan melibatkan 1,000 dron.

“Sebanyak tiga bas ulang-alik disediakan sebagai pengangkutan orang awam ke tempat acara (di Klebang) dan bas itu mengambil penumpang di beberapa lokasi yang telah ditetapkan manakala lebih 600 pihak berkuasa melibatkan Polis Diraja Malaysia bertugas bagi memastikan semua program acara bertaraf dunia ini berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.

Ab Rauf berkata lokasi perkhidmatan bas ulang-alik itu ialah parkir sekitar Dataran Klebang, parkir Pulau Melaka, kawasan lapang berhampiran The Seal, bahu jalan sepanjang Eye On Malaysia, bahu jalan utama yang tidak melibatkan laluan protokol dan laluan utama tetamu kehormat, parkir sekitar Taman Kota Shah Bandar atau Taman Kota Laksamana Jaya.

 -- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan