AM

Angkasa Perkenal Rasa Melaka Untuk Tarik Pelancong

23/09/2025 07:23 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah memperkenal projek rintis 'Rasa Melaka by Angkasa' yang menonjolkan elemen gastronomi, kebudayaan dan keusahawanan koperasi sebagai tarikan utama di kawasan tumpuan pelancong di Jalan Kasturi di sini.

Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata keistimewaan Melaka sebagai negeri pelancongan, warisan dan budaya yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi kelebihan kepada koperasi untuk menceburi bidang baharu itu.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, Angkasa berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam Melaka, Koperasi Hajah Che Me Melaka Berhad, Koperasi Abang Beca Melaka Berhad, Koperasi SMK Tun Ghafar Baba Berhad dan Koperasi Gabungan Kariah Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad.

"Menerusi Rasa Melaka by Angkasa, koperasi terlibat berpeluang memperkenal produk berasaskan makanan tradisional, kraf tangan, pengalaman budaya serta pakej pelancongan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada ekonomi setempat.

"Sebagai contoh, pelancong atau pengunjung di premis Rasa Melaka by Angkasa berpeluang mengabadikan kenangan mereka memakai pakaian atau busana tradisional Melayu dan kaum lain yang ditawarkan secara sewaan... mereka juga boleh menaiki beca mengelilingi kawasan sekitar Jonker Walk atau tapak warisan berhampiran menerusi pakej yang disediakan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Projek Rasa Melaka by Angkasa yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor.

Abdul Fattah berkata projek itu bukan sahaja mampu memartabatkan produk dan perkhidmatan tempatan malah memperkukuh pembangunan ekonomi inklusif melalui pelancongan mampan.

Beliau berkata model perniagaan Rasa Melaka by Angkasa berpotensi diperluas ke negeri lain sekali gus memperkukuh koperasi sebagai tulang belakang kepada sektor pelancongan komuniti di Malaysia.

Abdul Fattah juga berkata pelancaran produk baharu Angkasa itu secara tidak langsung membantu kerajaan mempromosikan sektor pelancongan negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Berdasarkan statistik terkini, terdapat lebih 300 koperasi di Melaka terlibat dalam sektor pelancongan, jadi kita akan memberi nilai tambah dengan elemen gastronomi dan budaya bagi meningkatkan ekonomi koperasi terbabit.

"Ini kerana koperasi mempunyai kapasiti yang luas untuk menjadi rakan strategik dalam memacu pelancongan yang akan memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan