AM

BUDI95 Beri Penjimatan Sehingga RM200 Sebulan - Amir Hamzah

23/09/2025 11:21 PM

KUALA LUMPUR, Sept 23 (Bernama) -- Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada rakyat Malaysia yang layak akan memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM200 sebulan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat seperti yang diaspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri memang beri fokus kos sara hidup rakyat melalui BUDI95 ini. Turunkan harga seperti dijanjikan kepada RM1.99 dengan harapan dapat bantu rakyat tangani kos sara hidup.

“Dalam sebulan dua ini sebenarnya harga semasa RON95 adalah antara RM2.60 ke RM2.75, jadi bila kita membeli di stesen minyak sebenarnya kerajaan dah beri subsidi agak besar. Kalau kita tengok dekat pam minyak harga RM2.60 penjimatan kepada rakyat hampir RM183.00 sebulan. Kalau harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan,” katanya pada taklimat media mengenai BUDI95 hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.

Menerusi BUDI95 juga, Amir Hamzah berkata ia memberikan penjimatan kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion bergantung kepada turun naik harga minyak dunia.

“Kami tidak dapat menjangkakan secara tepat jumlah penjimatan kerajaan kerana ia bergantung sama ada harga minyak kekal atau naik,” katanya.

Semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95 melibatkan lebih 16 juta orang.

Kelayakan boleh disemak mulai Khamis ini secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan