PETALING JAYA, 14 Sept (Bernama) -- Penglibatan selebriti, pemimpin dan atlet muda dalam kejohanan Piala MADANI 2025 peringkat negeri Selangor diyakini mampu membudayakan sukan sebagai aktiviti riadah sekali gus menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata kejohanan yang merangkumi acara bola sepak dan e-sukan itu sejajar dengan minat golongan belia terhadap pelbagai cabang sukan, selain membuka ruang untuk mereka menonjolkan bakat.
“Harapan kita ialah menjadikan sukan sebagai budaya hidup masyarakat yang tidak semestinya melalui kejohanan besar sahaja, sebaliknya juga merangkumi peringkat komuniti.
“Langkah ini mampu memupuk semangat kekitaan dalam menyemarakkan semangat Malaysia MADANI melalui platform kesukanan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Bola Sepak Piala MADANI 2025 di Padang Astaka, di sini malam ini.
Kejohanan selama dua hari bermula 13 Sept itu anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI).
Sementara itu, Pegawai Penerangan AIC Jestin Raj berkata kejohanan itu memberi tumpuan kepada penglibatan anak muda dalam usaha meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan dan aktiviti kemasyarakatan.
“Kejohanan ini merupakan program berskala besar pertama AIC dan kita merancang untuk memperluaskan lagi program seumpamanya ke negeri lain seperti Perak, khususnya di Tambun dalam masa terdekat.
“AIC sebelum ini lebih banyak menganjurkan program berbentuk komuniti dan bantuan masyarakat, namun kali ini tampil dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan melibatkan penyertaan lebih ramai peserta,” katanya kepada Bernama.
Kejohanan itu melabuhkan tirainya malam ini dengan perlawanan persahabatan sebagai acara kemuncak, yang menyaksikan pasukan Mak Jemah FC yang menggabungkan selebriti tanah air menewaskan pasukan AIC yang diwakili Adli dengan keputusan 5-2.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial