KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- AIA PUBLIC Takaful Bhd (AIA PUBLIC Takaful) telah dinobatkan sebagai Syarikat Takaful Terbaik pada majlis Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, sekali gus menandakan pengiktirafan pertama dalam acara berprestij itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Asri Omar menzahirkan penghargaan beliau atas pengiktirafan itu, di samping menyatakan anugerah berkenaan menyerlahkan pengaruh AIA PUBLIC Takaful yang semakin berkembang dalam industri takaful dan mengukuhkan komitmen syarikat dalam menawarkan penyelesaian patuh syariah yang inovatif serta berasaskan nilai kepada rakyat Malaysia.
“Kami amat berbesar hati diiktiraf sebagai Syarikat Takaful Terbaik di GIFA 2025. Anugerah ini membuktikan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam menyediakan perlindungan kewangan yang berasaskan tujuan dan mampan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anugerah itu turut mencerminkan sinergi kukuh yang terjalin dalam keluarga besar AIA Malaysia yang terus menyokong dan memperkukuhkan lagi usaha syarikat.
“Pencapaian yang membanggakan ini adalah bukti dedikasi dan kepercayaan para pelanggan, petugas, tenaga agensi serta rakan kongsi kami dan ia menjadi inspirasi untuk kami meningkatkan lagi kecemerlangan dalam industri takaful,” katanya.
Mohd Asri berkata sebagai satu daripada pengendali takaful terkemuka di negara ini, AIA PUBLIC Takaful terus memacu kemajuan industri melalui proposisi Penyelesaian Syariah Menyeluruh, satu pendekatan holistik yang unik dan berbeza berpandukan prinsip Maqasid Syariah.
“Penyelesaian syariah Menyeluruh kami melangkaui perlindungan tradisional dengan mengintegrasikan elemen kelestarian, etika dan tanggungjawab sosial sebagai teras utama. Kami komited untuk membentuk ekosistem takaful yang memberi impak bermakna kepada individu, keluarga dan komuniti.
“Seiring dengan kemajuan, kami akan terus memimpin dengan tujuan, menetapkan penanda aras baharu dan memacu perubahan positif dalam industri demi memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” katanya.
Kini memasuki tahun ke-15 penganjurannya, GIFA merupakan antara anugerah paling berprestij dalam industri perbankan dan kewangan Islam, yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu atas sumbangan serta pencapaian cemerlang mereka yang mendorong pertumbuhan dan kelestarian industri.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan penawaran produk AIA PUBLIC Takaful, layari laman web www.aia.com.my
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial