SUKAN

Piala FA: Kelantan TRW Singkir KL City, Kuching City Belasah DPMM

15/09/2025 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) --  Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas menyingkirkan Kuala Lumpur (KL) City FC biarpun tewas 0-1 pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad bimbingan E. Elavarasan itu mara dengan kemenangan agregat 3-2, sekali gus bakal membuat perhitungan menentangsama ada Sabah FC atau Bunga Raya FC.

Dalam pertembungan itu, pasukan tuan rumah yang memburu jaringan awal tidak bernasib baik apabila percubaan Muhammad Safawi Rasid dari jarak dekat berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan TRW Damyan Damyanov pada minit kelapan.

Enam minit kemudian, hasrat Muhammad Safawi menebus kekecewaannya tidak kesampaian apabila jaringannya dibatalkan selepas pengadil membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Asakan berterusan KL City akhirnya membuahkan hasil pada babak kedua selepas Victor Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk mengurangkan defisit jaringan, namun ia masih belum cukup untuk mencipta kebangkitan apabila kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Di SARAWAK, Kuching City FC melangkah bergaya ke suku akhir selepas menumpaskan DPMM FC 7-1 pada aksi di Stadium Negeri, dengan penyerang import dari Cameroon, Wanja Ronald Ngah, mencuri tumpuan menerusi hatrik.

Kuching City FC mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 9-4.

Skuad tuan rumah bermula cemerlang apabila Ngah hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan, sebelum Danial Asri menambah gol kedua pada minit ke-13 hasil hantaran Ramadhan Saifullah.

DPMM semakin tertekan selepas kehilangan seorang pemain apabila pertahanan mereka, Jordan Rodrigues, dilayangkan kad merah pada minit ke-20 selepas mengasari James Okwuosa.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak yang menambah gol ketiga menerusi Ngah pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung di separuh masa kedua, Ngah melengkapkan hatrik pada minit ke-53, namun pasukan pelawat cuba bangkit menerusi jaringan Muhammad Ramadhan Sananta pada minit ke-58.

The Cats bagaimanapun pantas kembali menguasai permainan apabila Ramadhan Saifullah menjaringkan gol kelima pada minit ke-60 sebelum Danial Asri sekali lagi menemui sentuhan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-77.

Pemain dari Timor-Leste, Joao Pedro menutup pesta gol Kuching City pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 7-1, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir bertemu Terengganu FC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan