Oleh Jailani Hasan
GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) -- Detik mencemaskan yang dilalui sebuah keluarga baru-baru ini, menyerlahkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan Hospital Pulau Pinang sekali gus membuktikan hospital kerajaan mampu menyediakan rawatan terbaik.
Penunggang motosikal Daniel Abdullah, 25, terlibat dalam kemalangan pada 24 Ogos lepas, menyebabkan dia mengalami pelbagai kecederaan parah termasuk tulang rusuk patah dan pelvis retak dan dikejarkan ke hospital berkenaan dalam keadaan kritikal.
Di sebalik kebimbangan dan perasaan yang bercampur baur, keluarga itu menyaksikan betapa cekapnya serta profesionalisme petugas perubatan hospital berkenaan, bermula daripada unit kecemasan sehingga unit rawatan rapi.
“Keadaannya sangat kritikal dan langsung tidak dapat bergerak. Pada awalnya kami amat bimbang, namun kepakaran pasukan perubatan dalam menjalankan tugas amat mengagumkan.
“Doktor di bahagian kecemasan, pakar bius, ortopedik, unit rawatan rapi (ICU), pasukan pengurusan sakit akut sehinggalah petugas wad, semuanya sungguh berdedikasi serta memberikan layanan yang mesra,” kata abang iparnya, Jailani Hasan, 52.
Daniel menjalani dua pembedahan utama, iaitu pada malam hari kejadian dan dua hari kemudian, yang telah membantu dia dapat duduk dan berjalan dalam tempoh seminggu sebelum dibenarkan keluar wad.
Sepanjang lebih seminggu di Wad C14, doktor Jabatan Ortopedik sentiasa melawat serta memberikan penjelasan mengenai tahap kecederaan pada tulang pelvis manakala pasukan pengurusan sakit akut pula sentiasa memantau ubat-ubatan dan tahap kesakitan bagi memastikan proses pemulihan yang lancar.
Jururawat dan petugas wad turut memberikan perkhidmatan dengan penuh profesionalisme dan mesra.
Keluarga berkenaan tidak menyangka sama sekali dengan tahap perkhidmatan yang diberikan hospital itu dan amat berterima kasih.
“Ia benar-benar mengubah tanggapan kami,” kata mereka.
Sebagai menghargai keperihatinan dan ketulusan hati semua petugas hospital, keluarga berkenaan memilih untuk berkongsi pengalaman itu secara terbuka sebagai mengenang jasa serta budi pasukan petugas perubatan.
Kemalangan berlaku kira-kira 7 pagi ketika Daniel dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk menghantar kakak dan abang iparnya pulang ke Labuan.
Motosikal ditunggangi hilang kawalan ketika mengelak sebuah kenderaan yang membelok secara tiba-tiba sebelum dirempuh sebuah kereta lain.
Pengalaman keluarga itu memperllihatkan bahawa hospital kerajaan bukan sahaja memiliki kemudahan tetapi juga mempunyai kepakaran yang diperlukan di samping petugas yang berdedikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial