AM

Perak Mahu Jadikan Mahkamah Syariah Lebih Mesra Rakyat, Perkhidmatan Cekap - MB

10/09/2025 10:49 AM

IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Kehakiman Syariah Perak sentiasa berusaha menyantuni masyarakat yang memerlukan perkhidmatan perundangan syariah yang lebih cekap dan pantas dengan menjadikan mahkamah syariah lebih mesra rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah terhadap keadilan syariah, setiap bangunan mahkamah syariah di Perak direka bentuk dengan teliti, termasuk menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung.

Beliau berkata pendekatan inovatif itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah, selain menyediakan kemudahan lengkap antaranya penjabat pendaftaran dan dewan bicara untuk ketiga-tiga mahkamah.

Ketiga-tiga mahkamah itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Syariah.

"Sungguhpun begitu, inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan mahkamah syariah tidaklah terhenti setakat menyediakan kemudahan semata-mata. Ia sentiasa ditambah baik, keadaan premis mahkamah khususnya melibatkan bangunan lama, kemudahan serta peralatan usang sentiasa diganti.

"Langkah itu dilakukan supaya lebih praktikal (bangunan dan kemudahan) dan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini. Ini semua dibuat untuk membolehkan orang ramai lebih mesra dengan Mahkamah Syariah dan yakin kepada urusan Mahkamah Syariah di negeri Perak," katanya dalam sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Salina Samsudin (BN-Behrang) yang mahu tahu langkah diambil pihak kerajaan negeri untuk memastikan dan mendekatkan lagi perkhidmatan kehakiman syariah kepada rakyat.

Sementara itu, Saarani berkata peratusan bagi baki kes berkaitan perceraian juga sentiasa terkawal apabila pada 2023 hanya 0.2 peratus sahaja kes-kes berkaitan yang tidak selesai dan dipantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penyelesaian dengan jumlah 23 kes daripada keseluruhan 12,501 kes dalam prosiding. 

"Pada 2024 jumlah baki kes berkaitan perceraian yang dipantau penyelesaiannya menurun kepada hanya 0.01 peratus dengan jumlah hanya 10 kes daripada keseluruhan 13,373 kes dalam prosiding. 

"Pada 2025 sebanyak 36 kes telah disenaraikan dalam KPI pemantauan penyelesaian kes berkaitan perceraian dan hingga Jun 2025, sebanyak 50 peratus daripada jumlah itu telah diselesaikan dengan baki 18 kes," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) berkenaan langkah pihak berkuasa berkaitan dalam menangani kes tertunggak di Mahkamah Syariah dan inisiatif mempercepat proses serta mengurangkankan beban kes tertunggak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan