BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
Oleh Nur Faradilla Mohamad
MERSING, 7 Sept (Bernama) -- Bermula tanpa sebarang asas dalam bidang teknologi maklumat, pasangan kembar Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah Rohaizat, graduan Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kota Tinggi, membuktikan kesungguhan mampu mengubah ‘zero’ menjadi ‘hero’.
Kedua-duanya yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Sijil Teknologi Maklumat mengakui perlu berusaha lebih gigih dengan memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.
Anak keempat dan kelima daripada sembilan beradik berusia 21 tahun itu turut menjadikan YouTube dan Google sebagai rujukan tambahan, selain mendapatkan bimbingan pensyarah.
“Perjuangan ini memang tidak mudah kerana kami sangat ‘struggle’ untuk memahami sesuatu topik. Namun, cabaran itu kami jadikan sebagai pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.
“Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT bagi membantu memahami topik yang sukar,” kata mereka ketika ditemui Bernama pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 yang berlangsung di Politeknik Mersing, hari ini.
Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah yang berasal dari Pasir Gudang serta mempunyai seorang abang sulung Orang Kurang Upaya (OKU) itu berhasrat untuk bekerja sementara bagi membantu menambah pendapatan keluarga
“Ayah bekerja dalam bidang penyelenggaraan manakala ibu pula suri rumah. Oleh itu, kami merancang untuk bekerja terlebih dahulu bagi meringankan beban keluarga,” kata mereka.
Bagi pasangan kembar lain, Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah Mohd Zafizal, 21, graduan Kolej Komuniti Segamat 2, kejayaan diraih bersama menjadikan pencapaian mereka lebih bermakna.
“Kami lebih bersemangat kerana memang minat dalam bidang Teknologi Maklumat dan sentiasa berazam untuk berjaya bersama. Jadi, kami fokus sepenuhnya ketika dalam kelas, catat segala penerangan pensyarah, dan yang paling penting, jangan sesekali tinggalkan solat,” kata mereka yang turut merangkul Anugerah Pengarah serta berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.
Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah merancang untuk meneruskan pengajian ke peringkat diploma di Politeknik Mersing.
Sementara itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, 21, membuktikan bahawa kekurangan fizikal akibat menghidap cerebral palsy bukanlah halangan untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni bina.
Anak sulung daripada dua beradik itu menamatkan pengajian dalam Sijil Teknologi Seni Bina di Kolej Komuniti Segamat dengan sokongan padu ibunya yang merupakan penolong akauntan serta ayahnya, seorang pensyarah di universiti awam.
“Ibu dan ayah selalu mengingatkan saya bahawa kekurangan bukan penghalang, sebaliknya cabaran untuk terus melangkah,” katanya yang turut menerima dorongan berterusan daripada rakan-rakan serta pensyarah.
Kegigihan Muhammad Uwais akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Pra Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.
Pada majlis berkenaan, seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial