AM

Sidang Kemuncak WPS ASEAN Ulangi Komitmen Perkasakan Wanita Dalam Kepimpinan

10/09/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) ASEAN 2025 telah mengulangi komitmen rantau itu untuk membuka lebih banyak peluang kepada wanita dalam peranan membuat keputusan, serta mempersiapkan generasi muda wanita dengan kemahiran dan keyakinan untuk memimpin.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sidang kemuncak dua hari itu, turut bertujuan memastikan pemahaman ASEAN mengenai keselamatan berkaitan keperluan wanita, keluarga dan komuniti.

“Untuk Malaysia, sidang kemuncak ini bukan sahaja peluang untuk berkongsi, tetapi juga untuk belajar.

“Pelancaran Pelan Tindakan Nasional mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS) menandakan komitmen serius kita, namun kita sedar bahawa pelan semata-mata tidak mencukupi.

“Pelaksanaan memerlukan kerjasama, akauntabiliti, pemantauan serta penglibatan aktif semua pihak berkepentingan di setiap peringkat, merangkumi kementerian dan agensi. Saya benar-benar percaya bahawa kita tidak melaksanakan usaha ini secara bersendirian,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup sidang kemuncak itu di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Sementara itu, Dr Wan Azizah mengecam pemusnahan terhadap infrastruktur pendidikan, serta penggunaan kelaparan sebagai senjata, sambil menegaskan bahawa sokongan terhadap rakyat Palestin mesti berterusan dan tidak berbelah bahagi.

“Di sana, asas sesebuah masyarakat sedang dimusnahkan secara sistematik. Kita sedang menyaksikan scholasticide, iaitu pemusnahan terancang sekolah dan universiti, yang merampas hak satu generasi keseluruhan untuk mendapat pendidikan dan masa depan.

“Hospital, yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan untuk penyembuhan, kini menjadi sasaran kemusnahan. Kelaparan bukanlah kesan sampingan tragis daripada konflik, tetapi digunakan sebagai senjata.

“Kita mesti menuntut kekejaman ini dihentikan dan beriltizam untuk membina sebuah dunia yang kanak-kanak Palestin juga berpeluang mengenal keamanan serta keselamatan,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyatakan bahawa agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan bukan terhad kepada perbincangan mengenai konflik semata-mata, sebaliknya merangkumi maruah, keselamatan dan ketahanan insan.

Beliau berkata agenda itu juga berkaitan dengan cabaran yang dihadapi wanita pada waktu aman, dalam pemulihan bencana, krisis kesihatan awam, serta risiko perubahan iklim yang semakin meningkat.

Dr Wan Azizah berkata keupayaan seorang wanita untuk menyumbang kepada keselamatan negara mempunyai kaitan rapat dengan sokongan yang diterimanya di rumah.

“Seorang suami yang menyokong aspirasi isterinya untuk menjadi pendamai dalam pertikaian komuniti sedang membina keamanan, manakala masyarakat yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak mampu milik sedang melabur untuk keselamatan mereka sendiri.

“Dengan mewujudkan suasana saling menghormati dan perkongsian tanggungjawab di rumah, kita sedang menyemai generasi pemimpin masa depan yang dapat membina dunia yang lebih adil dan saksama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan