MELAKA, 10 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini meraikan menteri dan delegasi ASEAN dengan membawa mereka menaiki bot persiaran menyusuri Sungai Melaka, sebagai program sampingan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19.
Antara yang turut serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama delegasi menaiki empat bot dari Jeti Pangkalan Rama antara 5.45 hingga 6 petang.
Turut sama pegawai AMMTC dari negara anggota ASEAN, Timor-Leste serta rakan dialog iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
Perjalanan selama 45 hingga 55 minit itu, membawa delegasi menyusuri pelbagai tarikan ikonik di tebing Sungai Melaka antaranya rumah kedai bersejarah, mural berwarna-warni, jambatan serta mercu tanda moden yang mencerminkan perpaduan warisan dan kemodenan negeri ini.
Program berkenaan berakhir kira-kira 6.40 petang apabila bot persiaran kembali ke Jeti Pangkalan Rama sebelum tetamu diraikan dalam majlis makan malam di Riverbank Floating Cafe Mendam Berahi, menyaksikan tetamu disajikan dengan keunikan layanan mesra Melaka.
Delegasi turut dihidangkan buah durian yang memberi peluang kepada delegasi menikmati keenakan raja buah itu dalam suasana unik di tepi sungai.
Sungai Melaka, yang suatu ketika dahulu menjadi laluan utama perdagangan maritim pada era Kesultanan Melaka, kini berubah wajah menjadi tarikan pelancongan utama di Melaka membolehkan pengunjung merasai pesona sejarah sambil menikmati transformasi moden bandar raya bersejarah.
Melaka menjadi tumpuan serantau minggu ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.
Mesyuarat lima hari itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.
AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial