KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pengambilan kemasukan pelajar baharu ke Universiti Malaya (UM) dibuat melalui proses saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dan pengambilan terus secara bersyarat oleh pihak universiti itu, menurut Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Beliau berkata tawaran terus secara bersyarat itu, dikeluarkan selepas tamat tempoh rayuan dan proses saringan turut dibuat berdasarkan sistem ranking sama seperti UPU, dengan anggaran tempat yang disediakan antara 20 hingga 50 orang calon.
Beliau berkata kemasukan secara bersyarat itu bukan automatik, sebaliknya perlu dimohon oleh calon.
“UM ada (pengambilan) yang kita kenali sebagai saluran terbuka...kita buat lebih kurang 30 hingga 50 orang yang diberi conditional offer, bermaksud mereka telah memenuhi syarat. Ini satu amalan biasa dan surat tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tarikh rayuan.
“Jadi semasa tarikh rayuan itu dibuat, 30 hingga 50 orang itu akan diranking, dilihat siapa yang terbaik. Mereka dirankingkan mengikut seperti proses yang (buat) UPU. Jadi jelas kita akan ambil 30 hingga 50 orang dan akhirnya (keseluruhan) menjadi 150 atau 160 orang,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan seorang pelajar STPM yang mendakwa beliau tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di UM, walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan markah kokurikulum 9.90, menjadikan merit keseluruhan sebanyak 99.90 peratus.
Susulan itu juga, terdapat pihak juga mendakwa jumlah tempat yang ditawarkan UPU bagi program itu di UM adalah tidak sama dengan jumlah akhir graduan yang dihasilkan.
Noor Azuan berkata data yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman berhubung jumlah 85 tempat bagi program perakaunan di UM, adalah tepat.
Beliau berkata terdapat tiga kategori calon iaitu lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matriks dan Asasi, calon diploma dan calon feeder daripada UM.
“Jadi kalau kita tengok, 85 itu datangnya daripada UPU iaitu calon daripada Matriks, STPM, Asasi, dan juga diploma. Itu yang jumlahnya yang menjadi 85. Tetapi ada lagi yang lain, iaitu 28 orang daripada feeder UM.
“Ini praktik yang biasa yang UPU berikan kepada UM untuk memilih dalam kalangan asasi-asasi yang sama meritnya juga,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata sistem UPU yang digunakan ketika ini adalah masih relevan, kerana ia mengambil kira semua aspek dan menggunakan dasar meritokrasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial