IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Saarani dalam sembah ucapannya berkata Menara Air Perak dibina bermula pada Mac 2016 dengan kos keseluruhan RM92 juta dan siap pada Februari 2023 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 6 Mac tahun sama.
Beliau berkata bangunan berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pejabat pentadbiran, pusat kawalan, dewan bankuet, surau, taska dan gimnasium.
Saarani berkata penubuhan Lembaga Air Perak (LAP) pada 1 Jan 1990 melalui Enakmen Bilangan 12 Tahun 1988 adalah transformasi daripada jabatan kerajaan kepada sebuah badan berkanun yang berdaya saing, menandakan langkah besar dalam memperkukuh pengurusan air terawat di Perak.
“Sejak itu, LAP memikul tanggungjawab memastikan setiap titisan air dirawat dengan selamat, sedaya upaya disalurkan dengan efisien dan memenuhi piawaian kebangsaan.
“Dari sejarah yang panjang ini, lahirlah sebuah organisasi yang matang dalam pengalaman, dan sentiasa berani membuat lonjakan baharu. Pemindahan Ibu Pejabat LAP dari Jalan St John ke Menara Air Perak pada Mac 2023 adalah detik penting yang menzahirkan transformasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata selama lebih tiga dekad, LAP berdiri sebagai nadi pembangunan negeri menyalurkan bekalan air bersih, menggerakkan denyut pertumbuhan ekonomi, mengangkat martabat kesejahteraan sosial dan menjaga kelangsungan kesihatan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial