KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kerajaan dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik negara menyasarkan untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB kepada 70 peratus dalam sistem pembekalan elektrik negara menjelang 2050.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata usaha itu yang bertujuan untuk menstabilkan sistem dan rangkaian grid turut melibatkan pelaksanaan sistem penstoran tenaga (BESS).
Ia berkata langkah itu dijangka melibatkan perbelanjaan modal (CAPEX) yang perlu ditampung melalui kos pembangunan sistem atau menerusi tarif pengguna.
“Oleh itu, bagi memastikan keterjangkauan harga elektrik kepada pengguna domestik dan industri, usaha peralihan tenaga akan dilakukan secara terancang dan pelaksanaan program-program TBB akan mengutamakan prinsip “causer pay” atau dilaksanakan menerusi mekanisme bidaan bagi meminimumkan implikasi peningkatan tarif elektrik yang mendadak kepada pengguna secara umum.
“Ini penting bagi memastikan supaya keseimbangan trilema tenaga yang merangkumi daya harap, kelestarian serta mampu bayar pengguna adalah terpelihara,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin tahu status terkini dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek TBB berskala besar terutamanya bagi memastikan kestabilan grid nasional dan keterjangkauan harga elektrik kepada pengguna domestik dan industri.
Sehingga kini, sebanyak 332 projek TBB berskala besar dengan jumlah kapasiti 5,894 megawatt (MW) telah diluluskan.
Daripada jumlah itu, 188 projek dengan kapasiti 2,564MW sudah beroperasi, kata kementerian itu.
Ia berkata, selain itu, antara cabaran utama dalam melaksanakan projek TBB berskala besar adalah keupayaan rangkaian grid menampung peningkatan penjanaan yang bersifat teragih (distributed) dan tidak konsisten (intermittent).
Bagi menangani isu ini, perancangan kemasukan kapasiti TBB dilaksanakan secara teliti melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), dengan penetapan kapasiti TBB dibuat berdasarkan usaha menaik taraf sistem serta infrastruktur grid, supaya penjanaan TBB dapat diintegrasikan dengan baik tanpa menghadapi kekangan sistem.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial