JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Kanan PBT Antara Tiga Ditahan Terlibat Rasuah Sejak 2014

25/08/2025 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara, kerana disyaki terlibat dengan rasuah sejak 2014.

Menurut sumber, dua suspek pula melibatkan seorang lelaki yang merupakan pemilik syarikat dan seorang wanita berumur lingkungan 40-an, masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan antara 1 tengah hari hingga 2 petang tadi.

Suspek lelaki berumur lingkungan 50-an yang berkhidmat dengan PBT pula ditahan di pejabatnya kira-kira pukul 4 petang tadi.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014, suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di PBT terbabit.

"Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga individu itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton," katanya kepada Bernama.

Sumber berkata SPRM juga telah membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ketiga-tiga individu itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan