JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Pulau Pinang Sita Dua Kontena Bawa Rokok Seludup Nilai Lebih RM7 Juta

17/09/2025 02:08 PM

BUTTERWORTH, 17 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menyita dua kontena membawa rokok seludup bernilai lebih RM7 juta termasuk cukai di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 dan 20 Ogos.

Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata kontena dari Thailand dipercayai menuju Republik Congo, Afrika dan transit di pelabuhan itu untuk memindahkan barang dagangan ke kapal lain sebelum meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, kegiatan itu dikesan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan.

“Pemeriksaan ke atas dua kontena itu menemukan 25.9 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM7.77 juta termasuk duti kastam,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di Perai, di sini hari ini.

Rohaizad berkata sindiket membuat pengisytiharan palsu pada Borang Transhipment (K6) dengan mengikrarkan barangan itu sebagai sapu tangan, tuala dan tisu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan termasuk bagi mengenal pasti pihak terlibat, mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52 (3) dan Seksyen 52(4) Akta Kastam 1967.

Pada kes berasingan, Rohaizad berkata pihaknya membongkar aktiviti penyeludupan rokok berselindung di sebalik operasi sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai dekat Taiping, Perak dalam operasi pada 29 Ogos. 

Operasi dilakukan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang hasil maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).

“Serbuan menemukan lebih dua juta batang rokok putih dan 254,400 batang kretek pelbagai jenama disyaki barang tidak berkastam bernilai RM761,484 dengan jumlah duti terlibat RM1.58 juta, dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.

Rohaizad berkata pemilik kilang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan