MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Penganjuran Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di Melaka bukan sahaja berjaya mengukuhkan kerjasama keselamatan serantau, malah berperanan sebagai platform untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan selamat.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan acara berprestij itu mencerminkan kepercayaan negara-negara ASEAN terhadap keupayaan Melaka menjadi lokasi penganjuran bertaraf antarabangsa yang selamat seterusnya memberikan keyakinan penuh kepada pelancong untuk berkunjung.
Beliau berkata keyakinan itu disokong rekod indeks jenayah yang rendah termasuk kes ragut dan samun, selain Melaka mencatatkan sifar jenayah di kawasan tumpuan pelancongan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024.
“Faktor ini menjadi nilai tambah unik kepada kehadiran pelancong terutama ketika Melaka sedang giat membuat persiapan sempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang bakal berlangsung kurang dari dua minggu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Gala sempena AMMTC ke-19 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn serta delegasi ASEAN.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata delegasi AMMTC ke-19 dan rakan dialog tidak hanya terlibat dalam perbincangan mengenai isu keselamatan serantau seperti penipuan dalam talian, pemerdagangan orang dan penyalahgunaan dadah, tetapi juga berpeluang mengalami sendiri keunikan Melaka menerusi program santai di luar dewan persidangan.
“Semalam, saya ambil peluang promosikan Melaka dengan membawa 350 orang delegasi menyusuri Sungai Melaka menaiki bot kira-kira 40 minit untuk melihat sejarah, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan keindahan bandar warisan ini.
"Maklum balas yang diterima sangat positif, malah ada dalam kalangan delegasi menyatakan minat untuk datang lagi dan saya percaya strategi ini sangat tepat untuk membantu mempromosi pelancongan selamat di sini,” katanya.
Melaka kini menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun di sini dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.
Program itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial