AM

Solidariti ASEAN Kunci Banteras Jenayah Rentas Sempadan – Saifuddin Nasution

11/09/2025 10:48 PM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia berharap kerjasama serantau dalam memerangi jenayah rentas sempadan dapat terus diperkukuh bagi melindungi nyawa, memulihkan maruah dan memberi harapan kepada komuniti yang terjejas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata misi tersebut, tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana negara secara bersendirian, sebaliknya memerlukan semangat solidariti yang kukuh dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Seperti peribahasa Melayu mengingatkan kita, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Inilah inti pati ASEAN, iaitu solidariti, kerjasama dan kepercayaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan di Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Saifuddin Nasution turut merakamkan penghargaan kepada negeri Melaka kerana menjadi tuan rumah acara tersebut dalam semangat keterbukaan dan kerjasama yang telah menjadi ciri bandar raya berkenaan sejak berabad lamanya.

“Bagi pihak semua delegasi ASEAN, kami mengucapkan terima kasih kepada Melaka kerana membuka hati dan negeri anda kepada kami.

“Amat bertepatan sekali, Melaka yang pernah menjadi pusat pertemuan besar dunia dan masih menjadi hab yang rancak hingga hari ini, kini menyambut ASEAN serta rakan-rakan kita untuk membincangkan cabaran pada zaman ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata ASEAN bukan hanya mengenai dokumen atau deklarasi, tetapi mengenai rakyatnya, persahabatan serta jaminan bahawa apabila krisis melanda, negara anggota akan berdiri bersama-sama sebagai jiran, rakan kongsi dan sahabat.

“Malaysia berbangga menjadi Pengerusi AMMTC tahun ini. Bagi saya, ini lebih daripada satu tanggungjawab, ia satu penghormatan untuk berjalan seiring dengan ASEAN dalam misi bersama-sama membina sebuah rantau yang lebih selamat dan terjamin untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan