MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan hari ini bersetuju untuk membawa tiga Deklarasi Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang diperakukan semalam, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata deklarasi berkenaan ialah ASEAN Leaders Declaration on Combating Money Laundering yang diterajui Malaysia, untuk memperkukuh integriti kewangan serantau, sekali gus menutup ruang bagi kegiatan penggubahan wang haram dan memastikan jenayah rentas sempadan tidak mendapat hasil haram.
“Deklarasi kedua ialah ASEAN Leaders Declaration on Enhanced Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives yang diusulkan Vietnam, ia penting kerana apabila berlakunya jenayah rentas sempadan, pelakunya kadang-kadang berada di negara ASEAN.
“Jadi kalau boleh kita tingkatkan kerjasama to locate, to arrest, to deport dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman.
Beliau berkata deklarasi ketiga pula membabitkan ASEAN Leaders Declaration on the Use of Sports for Preventing Violent Extremism yang dicadangkan Indonesia.
“Negara berkenaan melihat bahawa alternatif supaya generasi muda misalnya tidak terbabit dengan jenayah kekerasan ialah dengan memberikan alternatif melalui aktiviti sukan,” katanya.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata AMMTC juga bersetuju untuk menurunkan dua isu daripada senarai keutamaan mesyuarat pada persidangan akan datang, iaitu pelanunan dan jenayah ekonomi antarabangsa.
Sebaliknya, fokus akan diberikan kepada jenayah siber, terutamanya penipuan dalam talian yang terus merekodkan jumlah kerugian yang tinggi dari tahun ke tahun.
“Aktiviti pelanunan masih ada, contohnya dulu di kawasan timur Sabah kidnap for ransom ini cukup popular tapi pengalamn kita sejak Januari 2020, tiada lagi sebarang insiden berkaitan jenayah berkenaan dikesan.
“Jadi negara-negara ASEAN berpendapat dari sudut urutan keutamaan, ada kewajaran untuk pelanunan ini dikebelakangkan dan beri lebih fokus kepada penipuan dalam talian,” katanya.
Melaka kini menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.
Program itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial