AM

Pusingan Akhir Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2025 Pada 22 Sept

11/09/2025 11:26 AM

GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 bakal menutup tirainya dengan pertembungan antara pasukan dari Selangor dan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Sept ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM) Ahmad Haridan Mohamed berkata, kedua-dua pasukan pendebat tersebut akan bersaing di pentas akhir di hadapan Menteri Pendidikan Datuk Fadhlina Sidek.

“Sebanyak 16 pasukan mewakili setiap negeri dan Wilayah Persekutuan mengambil bahagian dalam pertandingan ini, yang melibatkan pelajar sekolah menengah. Ia bermula daripada peringkat daerah, negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.

“Pertandingan ini dijadikan medium untuk melahirkan pendebat daripada kalangan generasi MADANI yang boleh berhujah secara baik, sopan dan pada masa sama mencerminkan identiti seorang pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan peringkat negeri yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, malam tadi.

Sejak bermula pada 8 Sept, pertandingan ini menyaksikan pasukan Selangor dan Sabah muncul sebagai dua finalis sehingga pusingan separuh akhir serta pemilihan 10 pembahas terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.

Pertandingan debat ala Parlimen ini bertujuan membina generasi pelajar yang kritis, petah berhujah dan mampu menyampaikan pendapat secara beradab selaras aspirasi Generasi MADANI. Selain itu, ia menjadi platform membentuk kepimpinan pelajar melalui pengucapan awam dan pemikiran rasional yang matang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan