KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang akan melawat Malaysia bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan Ambank di sini hari ini, Anwar turut mendedahkan Presiden Rusia Vladimir Putin sedang menimbang dengan serius lawatan ke Malaysia, susulan pertemuan terbaru antara kedua-dua pemimpin di Beijing.
“Trump telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri sidang kemuncak itu, yang turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri China Li Qiang.
“Presiden Putin bertemu saya di Beijing dan berkata beliau sedang menimbang dengan serius untuk datang ke Malaysia. Jadi, kita akan ada Donald Trump, Presiden Putin, dan Li Qiang,” katanya.
Anwar berkata lawatan peringkat tinggi ini menekankan kepentingan geopolitik Malaysia yang semakin meningkat, walaupun di tengah ketidaktentuan global.
“Ini adalah masa yang mencabar. Namun begitu, saya amat optimis kerana kita mempunyai daya tahan. Kita perlu membina daya tahan ini, baik dari segi ekonomi mahupun domestik.
“Tiada sebab, sama sekali tiada sebab, mengapa kita tidak boleh mengatasi cabaran kerana asas kita telah kukuh,” katanya.
Mengenai kestabilan domestik, Perdana Menteri menegaskan pentadbirannya komited memastikan kestabilan politik dan kejelasan ekonomi, yang merupakan pemacu utama keyakinan pelabur.
“Dari segi politik, ia stabil. Apa yang lebih penting bagi saya ialah fokus terhadap dasar yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.
“Ini memerlukan konsep ekonomi yang jelas… kejelasan dalam dasar, sama ada berkaitan semikonduktor nasional, hala tuju peralihan tenaga, atau transformasi digital,” katanya.
Anwar menekankan bahawa keamanan dan kestabilan Malaysia, bersama kepelbagaian ekonomi dan budaya, menjadikannya rakan yang dipercayai dalam rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial