SUKAN

Harimau Muda Gagal Layak Ke Piala Asia B-23

10/09/2025 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 selepas tumpas 1-2 kepada Thailand pada aksi terakhir Kelayakan Kumpulan F hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan melalui Kakana Khamyok pada minit ke-32.

Bagaimanapun, Harimau Muda berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, menjadikan keputusan 1-1 pada separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat saling menyerang ke arah kubu lawan masing-masing, namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.

Ketika perlawanan hampir berakhir dengan keputusan seri 1-1, Khamyok muncul wira Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan Thailand melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan selepas muncul juara Kumpulan F dengan mengumpul tujuh mata, manakala tempat kedua menjadi milik Lubnan berdasarkan jumlah jaringan.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain menutup kempen kelayakan kali ini di tangga ketiga Kumpulan F dengan tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan