MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- ASEAN disifatkan sebagai unik dan kekal antara rantau paling aman di dunia, keistimewaan yang membolehkan blok itu berkembang dinamik serta menarik pelaburan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keupayaan ASEAN mengekalkan prinsip kesepakatan dan sentraliti dalam mendepani realiti geopolitik yang kompleks mencerminkan kekuatan kerjasama kolektif dalam kalangan negara anggota.
“Pada masa sama, ASEAN kekal dengan pendirian geopolitiknya berteraskan sentraliti. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun kita berjaya menghadapinya kerana kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta perwakilan negara anggota ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar menegaskan hubungan erat dalam blok itu terserlah melalui pertemuan dan perundingan yang kerap dalam kalangan pemimpin.
“Petang tadi, ketika saya mempengerusikan mesyuarat, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menghubungi saya untuk membincangkan beberapa perkara.
“Pertukaran pandangan seperti ini jelas menunjukkan keunikan hubungan kita, dan saya tidak melihat ada rantau lain yang memiliki tahap saling percaya dan hormat seperti ini,” katanya.
Anwar turut memberi contoh Zon Ekonomi Singapura sebagai inisiatif dua hala berjaya yang menggambarkan komitmen terhadap kemakmuran bersama, sambil berkata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong konsisten memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam kerangka ASEAN.
Beliau juga menekankan nilai kepercayaan dalam kalangan agensi perisikan ASEAN yang disifatkan semakin mengukuhkan jalinan serantau.
“Bagi menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri dan penguatkuasaan, kepercayaan amat penting. Jika wujud isu yang menimbulkan rasa curiga, kita mesti berwaspada. Tanpa kepercayaan dan perkongsian maklumat, sukar untuk kita memperkukuh ikatan sedia ada,” katanya.
Melaka minggu ini menjadi tumpuan rantau apabila menteri serta pegawai kanan ASEAN dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan berhimpun pada 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC Ke-19 serta mesyuarat berkaitan, bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Mesyuarat itu dianjurkan bersempena Pengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, mencerminkan komitmen negara membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial