SEREMBAN, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan peluasan Program Menu RAHMAH@Hospital di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dengan tawaran harga makanan serendah RM5.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata inisiatif itu memberi peluang kepada golongan B40, pelajar, warga emas serta pekerja menikmati makanan seimbang dan sihat dengan harga berpatutan.
Beliau berkata HTJS sebagai rujukan utama di negeri itu, dengan 23 kepakaran klinikal menampung purata 5,023 kemasukan pesakit dan 32,665 pesakit luar setiap bulan.
“Dengan kapasiti ini, kerajaan percaya Program Menu RAHMAH@Hospital akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pesakit tetapi pengunjung serta para petugas kesihatan yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat.
“Program Menu RAHMAH@Hospital dilancarkan ini bukan sekadar usaha menurunkan kos sara hidup tetapi ia adalah komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pesakit, pengunjung dan warga kerja hospital dapat mengakses makanan berkualiti, sihat dan berpatutan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Program Menu RAHMAH@Hospital di HTJS hari ini.
Fuziah berkata usaha itu boleh dijayakan melalui kerjasama antara kementerian dan agensi serta sokongan usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi tonggak penting ekosistem makanan tempatan.
Beliau juga yakin menu rahmah itu akan menjadi produk pilihan orang ramai selepas Jualan Rahmah MADANI yang sangat mendapat sambutan.
“KPDN menyeru penglibatan lebih banyak hospital di seluruh negara agar terlibat dalam program ini termasuk hospital swasta,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah berkata lebih 3,106 premis makanan di seluruh negara menyertai menu rahmah menerusi program Rahmah Kerajaan MADANI sejak Januari 2023 hingga 1 Sept ini.
Beliau berkata biarpun program itu telah bermula sejak dua tahun lepas, namun masih ada masyarakat belum menyedari kewujudan menu rahmah berkenaan.
“Inisiatif ini sudah lama tetapi mungkin ada yang menganggap itu benda biasa tetapi setelah kami membuat tinjauan mengenai program ini, sebenarnya ramai yang nak dan sangat menghargainya.
Selain di hospital, KPDN turut memperluas inisiatif itu melalui Menu RAHMAH@Bazar Ramadan RAHMAH, Menu RAHMAH@Industri, Menu RAHMAH@Institusi Pendidikan serta advokasi berterusan menerusi Karnival KPDN dan Program MADANI Rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial