Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu terus mencatatkan penurunan susulan laporan pekerjaan AS yang dikeluarkan pada Jumaat lepas kurang menggalakkan.
Ini termasuk menjelang semakan semula data pertumbuhan pekerjaan AS untuk tempoh 12 bulan sehingga Mac hari ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.2025/2080 daripada 4.2165/2205 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS terus merosot sejajar dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 97.330 mata.
Beliau berkata laporan pasaran buruh AS yang kurang menggalakkan telah mengukuhkan keyakinan terhadap penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan.
“Terdapat juga tanggapan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin lambat dalam melaksanakan pelonggaran dasar monetari pada masa yang sesuai berikutan siri data pasaran buruh sebelum ini seperti senarai gaji bukan ladang (NFP) AS menunjukkan semakan semula yang ketara.
“Oleh itu, ringgit telah melepasi paras psikologi pada RM4.20,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed telah merapatkan jurang hasil, memberi lebih banyak ruang kepada mata wang tempatan untuk meningkat.
Beliau berkata potensi penurunan kadar itu menunjukkan penilaian semula yang meluas mengenai sejauh mana sokongan dasar perlu diberikan oleh Fed tahun ini.
“Aspek penting mungkin diketahui (hari ini) apabila semakan semula tahunan terhadap NFP diumumkan. Gabenor Fed Christopher Waller telah mengingatkan bahawa jumlah pekerjaan tahun lepas mungkin telah dinyatakan secara berlebihan sebanyak 720,000 jawatan, jurang yang akan menyusun semula keseluruhan naratif mengenai daya tahan pasaran buruh AS.
“Bagi pasaran, semakan semula sedemikian memberi tekanan kepada dolar AS, yang akan terus mencatatkan penurunan dalam pelabur bersiap sedia menghadapi kemungkinan perubahan dasar yang lebih besar,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.9451/9516 daripada 4.9430/9477, berkurangan berbanding yen kepada 2.8711/8751 daripada 2.8536/8565 dan rendah berbanding pound kepada 5.7095/7170 daripada 5.6956/7011 semalam.
Bagaimanapun, mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2824/2870 daripada 3.2831/2865, merosot berbanding baht kepada 13.2688/2925 daripada 13.2299/2491, naik berbanding rupiah kepada 254.9/255.4 daripada 258.5/258.8 dan tinggi berbanding peso kepada 7.37/7.39 daripada 7.43/7.44 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial