EKONOMI

Bursa Malaysia Meningkat, Belian Pada Saat Akhir Imbangi Pengambilan Untung

09/09/2025 07:16 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh belian pada saat-saat akhir dalam CelcomDigi, yang mengimbangi penyusutan terdahulu berikutan pelarasan tanpa dividen dalam Maxis dan MISC serta aktiviti pengambilan untung dalam Tenaga Nasional dan CIMB.

Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 1.22 mata kepada 1,586.81 daripada 1,585.59 semasa ditutup semalam.

Indeks berkenaan dibuka mengukuh 1.39 mata kepada 1,586.98 dan diniagakan antara 1,581.89 dan 1,587.53 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 506 berbanding 447 manakala 536 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,104 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.01 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 2.15 bilion unit bernilai RM1.94 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama pasaran mencatat pemulihan pada saat-saat akhir apabila ditutup meningkat sedikit, mengatasi penurunan terdahulu berikutan pelarasan tanpa dividen dalam saham Maxis dan MISC serta aktiviti pengambilan untung dalam Tenaga Nasional dan CIMB.

“Pembelian yang menyokong dalam saham berkaitan indeks lain memberikan momentum yang cukup untuk mengimbangkan tekanan jualan, menjadikan petunjuk pasaran ditutup tinggi sedikit,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata secara keseluruhan trend pasaran dilihat membina, dengan FBM KLCI sedang melaksanakan konsolidasi yang baik dan sekiranya pergerakan indeks melepasi paras 1,600 mata, ini dijangka mengukuhkan sentimen jangka panjang.

“Jumlah dagangan telah kembali kepada paras yang lebih normal selepas tempoh kelembapan yang singkat, menunjukkan pelabur mula kembali giat dalam pasaran.

“Penyertaan (pelabur) yang kembali aktif memberi isyarat kukuh kepada trend kenaikan seterusnya, justeru, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI pada 1,570 hingga 1,600 mata,” katanya.

Sementara itu, indeks utama serantau ditutup bercampur-campur apabila pelabur berhati-hati sementara menunggu pengumuman pelbagai data ekonomi bermula hari ini hingga Khamis, yang dijangka mempengaruhi unjuran kadar faedah.

Sementara itu, setakat ini Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.19 peratus kepada 25,938.13, Indeks Strait Times Singapura susut 0.30 peratus kepada 4,295.44, Kospi Korea Selatan menambah 1.26 peratus kepada 3,260.05 dan Nikkei 225 Jepun susut 0.42 peratus kepada 43,459.29.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok empat sen kepada RM10.04, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.29, IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM6.94 tetapi CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing rendah 11 sen dan 22 sen kepada RM7.16 dan RM13.10.

Pharmaniaga muncul kaunter paling aktif pada akhir dagangan apabila naik dua sen kepada 21.5 sen, Zetrix AI dan Velesto masing-masing rendah setengah sen kepada 85.5 sen dan 21 sen manakala Tanco menyusut 2.5 sen kepada 78.5 sen.

Kaunter paling untung hari ini diterajui oleh Nestle yang melonjak RM2.10 kepada RM96.10, diikuti PPB yang menambah 30 sen kepada RM10.20, Bintulu Port naik 20 sen kepada RM5.30 dan Petronas Dagangan meningkat 18 sen kepada RM22.32.

F&N dan United Plantations muncul kaunter paling rugi, masing-masing susut 34 sen kepada RM 27.30 dan 26 sen kepada RM 22.34.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.82 mata kepada 11,772.84, Indeks FBMT 100 menambah 10.24 mata kepada 11,537.48, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 10.51 mata kepada 11,746.06.

Indeks FBM 70 menokok 20.91 mata kepada 16,468.36 manakala Indeks FBM ACE susut 48.12 mata kepada 4,720.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.26 mata kepada 18,127.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.48 mata kepada 165.23, Indeks Perladangan menokok 32.42 mata kepada 7,668.78 manakala Indeks Tenaga meningkat 0.07 mata kepada 740.39.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.29 bilion daripada 1.29 bilion unit bernilai RM1.75 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.20 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 596.79 juta unit bernilai RM91.02 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 317.83 juta bernilai RM123.19 juta daripada 262.34 juta unit bernilai RM100.3 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (241.92 juta), pembinaan (110.69 juta), teknologi (171.93 juta), perkhidmatan kewangan (97.82 juta), hartanah (172.24 juta), perladangan (27.0 juta), REIT (18.85 juta), dana tertutup (30,500), tenaga (119.57 juta), penjagaan kesihatan (174.38 juta), telekomunikasi dan media (43.73 juta), pengangkutan dan logistik (29.20 juta), utiliti (36.41 juta), dan amanah perniagaan (141,200).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan