AM

Malaysia Lancar Garis Panduan Etika Bioteknologi, Jamin Inovasi Bertanggungjawab

09/09/2025 06:40 PM

KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Malaysia telah memperkenalkan garis panduan etika bioteknologi pertamanya, menandakan satu pencapaian penting bagi negara dan menjadi penanda aras bagi rantau ASEAN dalam merangka pelan hala tuju ke arah inovasi yang bertanggungjawab.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menerajui pembentukan kerangka berkenaan yang merangkumi 15 prinsip etika teras dalam bidang bioteknologi di Malaysia antaranya menghormati autonomi, maruah dan hak asasi manusia, tanggungjawab sosial, perlindungan biokedaulatan, kelestarian serta perlindungan terhadap generasi akan datang.

Menterinya Chang Lih Kang berkata Garis Panduan Etika Bioteknologi Kebangsaan juga menekankan perlindungan data genetik, ketelusan dalam penyelidikan klinikal, penggunaan haiwan secara berperikemanusiaan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap bioteknologi.

“Pada masa ini, Malaysia menjadi peneraju dalam aspek bioetika. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang telah menyediakan garis panduan ini. Saya berharap rakan-rakan ASEAN kita juga dapat belajar daripada inisiatif ini.

“Garis panduan ini penting kerana apabila kita memperkatakan tentang kemajuan teknologi, kita perlu mengambil kira kedua-dua aspek teknologi dan kemanusiaan. Aspek kemanusiaan sangat penting kerana jika diabaikan, semuanya boleh menjadi kucar-kacir. Sebab itulah etika itu penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan garis panduan berkenaan pada Seminar Bioetika ASEAN 2025 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Chang berkata bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), penyuntingan genetik dan pelbagai inovasi seperti daging kultur sedang mengubah kehidupan di seluruh dunia. Inovasi-inovasi berkenaan menawarkan penyelesaian kepada cabaran terbesar manusia termasuk merawat penyakit keturunan, memperkukuh keselamatan makanan serta menangani perubahan iklim.

“Namun, seiring peluang-peluang ini, timbul persoalan penting tentang keselamatan, keadilan, dan etika. Di Malaysia, kita mengambil kira keseimbangan ini. Dasar Bioteknologi Negara 2.0 kita menunjukkan komitmen untuk menyepadukan kerangka etika yang memastikan inovasi berkembang dengan bertanggungjawab dan mampan.

“Prinsip-prinsip ini bukanlah halangan kepada kemajuan, sebaliknya asas kepada kepercayaan. Tanpa kepercayaan, inovasi tidak mampu untuk berkembang,” katanya.

Chang berkata Garis Panduan Etika Bioteknologi Kebangsaan akan menjadi “dokumen hidup” yang akan disemak dan diperbaiki secara berkala agar kekal relevan di tengah-tengah perubahan teknologi pesat.

Beliau berkata garis panduan itu direka untuk pembuat dasar, penyelidik, pemain industri, dan pendidik, kerana ia meletakkan manusia sebagai fokus utama dalam bioteknologi bagi memastikan inovasi berkembang secara berperikemanusiaan, beretika dan terangkum.

"Malaysia tidak melangkah bersendirian. Sebagai Pengerusi Sub Jawatankuasa ASEAN bagi Bioteknologi, kita bertekad untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam membina visi bersama mengenai bioetika,” katanya.

Bertemakan “Navigating Bioethical Frontiers: Sustainability and Resilience in ASEAN", seminar dua hari itu menghimpunkan 250 peserta termasuk wakil dari negara anggota ASEAN, Timor-Leste, Sekretariat ASEAN, saintis, pembuat dasar dan pemimpin industri.

Seminar berkenaan dianjurkan MOSTI dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Sabah Biodiversity Centre, Institut Kefahaman Islam Malaysia serta Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia.

Isu dibincangkan meliputi pelbagai etika seperti kesihatan, kecerdasan buatan, perubatan tradisional, tenaga lestari, serta bioteknologi makanan hingga etika klinikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan