KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Seorang guru wanita kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang mendakwa beliau terlibat dalam pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata mangsa berusia 55 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat insurans, sebelum disambungkan kepada pihak kononnya polis.
Beliau berkata suspek menuduh mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan mengarahkan mangsa membuat pembayaran “jaminan diri”.
“Bermula 14 Feb hingga 7 Sept 2025, mangsa telah membuat 41 transaksi ke dalam 32 akaun berbeza menggunakan wang simpanan sendiri, akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) anak, selain hasil gadaian barang kemas dan penjualan saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ashari berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas suspek mengarahkannya memadam semua perbualan serta resit pembayaran.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial