KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai polis yang telah 53 kali menderma darah sejak 2005 bertekad untuk terus berbuat demikian demi membantu mereka yang memerlukan.
Insp Raja Zulkhairi Raja Omar, 42, berkata sejak 2023 beliau menderma darah setiap dua minggu sekali menggunakan kaedah aferesis iaitu pendermaan komponen tertentu dalam darah selepas melakukan derma darah penuh tiga bulan sekali sebelum itu.
“Selepas ujian mendapati saya sesuai untuk pendermaan aferesis iaitu pendermaan komponen darah platlet dan plasma sahaja, saya berasa bertanggungjawab untuk melakukannya kerana tidak semua orang boleh menderma dengan cara ini.
“Tambahan pula, darah jenis O+ yang saya miliki boleh digunakan untuk semua pesakit,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-218 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Pengarah Pusat Darah Negara Dr Mohammad Masrin Md Zahrin.
Raja Zulkhairi berkata dorongan untuk terus menderma darah adalah daripada rasa tanggungjawab terhadap masyarakat, khususnya kanak-kanak yang sakit dan mangsa kemalangan.
“Sebagai seorang beragama Islam, saya juga melihat amalan ini sebagai satu cara memperoleh pahala berpanjangan. Saya berharap lebih ramai tampil menderma darah bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Pada majlis itu, beliau menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya yang konsisten dalam pendermaan darah.
Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu kini bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di bawah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Sebanyak 257 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil bahagian dalam program itu.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial