FOKUS BERNAMA

Perkasa Pendidikan Penggunaan Jalur Gemilang, Perkukuh Semangat Patriotik

09/09/2025 10:54 AM
Daripada Nor Hayati Endan

Tarikh keramat 31 Ogos mungkin sudah berlalu, namun tidak bererti peluang untuk rakyat menzahirkan semangat patriotik juga turut tertutup, kerana untuk menunjukkan kecintaan dan kebanggaan terhadap negara tidak perlu kita menunggu Bulan Kebangsaan.   

Sebaiknya kata pakar, pengibaran Jalur Gemilang khususnya, perlu dilakukan sepanjang masa agar isu seperti pemasangan bendera secara salah ataupun digayakan dengan semberono tidak berulang.

Misalnya, mengenakan Jalur Gemilang sebagai kostum,  walau untuk apa tujuan, sebenarnya tidak dibolehkan. Namun, kerap kali kita melihat perkara itu berlaku. Belum lagi disentuh tentang pemasangan bendera secara terbalik, yang menurut pakar berlaku disebabkan oleh ketidakcaknaan masyarakat.

Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berjalur merah putih dengan segi empat biru sebagai asas kepada bulan dan bintang kuning diraja. Sebaliknya, setiap warna dan lambang ada makna yang kesemuanya membawa satu maksud, iaitu maruah sebuah negara bangsa.   

Menurut laman sesawang Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Jalur Gemilang tidak boleh dijadikan pakaian, alas meja, tudung, payung, songkok, samping, topi, tuala mandi, alas kusyen, pelitup muka dan beberapa barangan lain yang boleh menimbulkan rasa kurang hormat terhadap lambang negara. Yang dibenarkan dalam penggayaan hanya warna asas dan motif bendera, iaitu merah, putih, biru dan kuning.

 

PATUHI ETIKA PENGGUNAAN JALUR GEMILANG

Mengulas perkara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penggayaan busana berinspirasikan Jalur Gemilang ialah satu bentuk ekspresi semangat patriotik tetapi perlu dilakukan secara beradab dan menghormati lambang negara.

"Bagaimanapun, penggunaan Jalur Gemilang yang sebenar, iaitu bendera fizikal sebagai bahan untuk membuat pakaian atau aksesori adalah tidak wajar dan bertentangan dengan etika serta garis panduan rasmi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

pic-2

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar merujuk garis panduan yang disediakan oleh JaPen dan agensi kerajaan berkaitan sebelum menggayakan tema Jalur Gemilang sebagai kostum.

"Gunakan kreativiti secara bijaksana. Gunakan elemen bendera sebagai inspirasi rekaan (motif, warna dan konsep). Elakkan penggunaan secara tidak wajar kerana perbuatan itu bukan sahaja mencemar imej negara malah boleh menjatuhkan maruah bangsa,” tegasnya.

Bagi mengelakkan insiden penggayaan elemen Jalur Gemilang secara salah, Awang Azman menyarankan agar pendidikan dan penerangan mendalam tentang etika penggunaan Jalur Gemilang dilaksanakan di peringkat sekolah.

“Pihak pentadbir sekolah dan agensi kerajaan boleh bekerjasama menyampaikan maklumat ini dalam bentuk poster, infografik, video pendek dan kempen media sosial agar lebih mudah difahami, terutamanya oleh generasi muda," katanya.

 

TINGKATKAN KESEDARAN AWAM

Turut senada, pakar perundangan dan perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata pendidikan dalam etika penggunaan Jalur Gemilang perlu diperkasakan di setiap lapisan masyarakat bagi memberi pendedahan penggayaan yang betul.

"Kesedaran awam akan penggunaan atau penggayaan Jalur Gemilang yang betul perlu ditingkatkan. Walaupun maklumat mengenai perkara ini mudah diakses menerusi laman web JaPen, mungkin ada pihak yang tidak ambil endah.

"Kementerian Pendidikan Malaysia juga boleh menganjurkan program yang menjelaskan etika penggunaan Jalur Gemilang yang betul di sekolah-sekolah. Penerangan juga hendaklah diberikan kepada pihak swasta dan orang-orang persendirian, terutamanya yang menjual kostum atau barangan berasaskan Jalur Gemilang," katanya.

Meskipun tiada undang-undang secara langsung yang melarang penggayaan Jalur Gemilang, Shamrahayu berkata hal itu tidak boleh dipandang ringan kerana bendera merupakan lambang identiti bangsa dan simbol kedaulatan negara yang perlu dipelihara dengan sebaiknya oleh setiap rakyat negara ini.

 

MOHON KEBENARAN 

Sementara itu, pakar undang-undang Dr Ainul Jaria Maidin berpendapat Jalur Gemilang tidak wajar digayakan secara sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan dibuang merata-rata setelah digunakan.

Bekas pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga melihat penggunaan Jalur Gemilang untuk tujuan fesyen sebagai penyalahgunaan simbol rasmi negara.

pic-3

"Berdasarkan Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414), penggunaan Jalur Gemilang tanpa kebenaran bertulis adalah dilarang. Sebelum membuat sebarang rekaan berasaskan bendera, semak Buku Panduan Am Lambang Kebesaran Negara dan Surat Pekeliling Ikhtisas terkini. Pastikan susunan, warna, skala dan elemen lain mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

"Jika rekaan melibatkan sebarang pemotongan Jalur Gemilang, mohon kebenaran bertulis daripada JaPen dengan memasukkan maklumat lengkap seperti contoh lakaran rekaan, spesifikasi bahan dan saiz, serta  tujuan penggunaan (komersial, acara rasmi atau pendidikan)," katanya.

Ainul Jaria berkata penggayaan busana yang memaparkan Jalur Gemilang memerlukan disiplin kreatif dan pematuhan undang-undang bagi menghargai maksud sebenar simbol negara di samping mengekalkan semangat patriotik dan kedaulatan negara.

Beliau berkata pendekatan bersepadu seperti pendidikan formal, kempen digital serta program komuniti dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta mengenai tatacara penggunaan Jalur Gemilang yang betul dapat meningkatkan pemahaman masyarakat.

"Selain itu, mata pelajaran Sejarah dan Sivik hendaklah diperkukuhkan di semua institusi pendidikan termasuk sekolah, bagi menyemai rasa cinta kepada negara serta kefahaman etika penggunaan bendera secara betul.

"JaPen juga boleh menganjurkan bengkel untuk pereka fesyen serta pengeluar produk berasaskan Jalur Gemilang tentang batasan kreatif penggunaan elemen bendera yang dapat memberi pendedahan tentang garis panduan khusus percetakan yang dibenarkan," katanya.

Menurut Ainul Jaria, penggayaan Jalur Gemilang secara salah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5 Akta 414 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan