IPOH, 9 Sept (Bernama) -- Pemerkasaan warden antara langkah kawalan tegas diambil kerajaan Perak bagi memastikan tiada kes buli di sekolah berasrama, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hahipah.
Khairudin berkata langkah itu melibatkan pelantikan warden sekolah mengikut norma ratio atau nisbah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“…iaitu minimum tiga orang warden dan tambahan seorang warden bagi setiap 50 orang murid. Pengganti hendaklah segera dilantik sekiranya ada warden yang meletak jawatan, bersara atau bertukar sekolah supaya pengurusan asrama dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) yang mahu tahu apakah langkah kerajaan dalam menghadapi isu buli di sekolah serta adakah masih wujud budaya “kapla” atau gangsterisme di sekolah berasrama penuh di Perak.
Sementara itu, Khairudin berkata selain aspek pelantikan, pengurusan asrama juga perlu menyusun jadual bertugas agar setiap waktu keberadaan warden sentiasa ada di asrama.
Beliau berkata setiap warden yang bertugas mestilah mengisi buku laporan bertugas mengikut format yang ditentukan berkaitan keselamatan, kebersihan dan disiplin.
Selain itu, Kharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata aspek pemantauan asrama turut diambil berat termasuk mempunyai peti aduan sendiri selain peti aduan yang berada di sekolah.
"Peti aduan mestilah terletak di tempat yang mudah diakses oleh murid dan guru serta perlu diselenggara dan sentiasa disemak oleh warden bertugas agar sebarang aduan dapat segera ditangani seterusnya diselesaikan oleh pentadbir atau warden asrama.
"Pemeriksaan dan “roll-call” dilaksanakan secara berkala dengan bantuan pengawas bertugas pada waktu pagi dan malam,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Berhanudin, Khairudin memaklumkan tahun lepas sebanyak 85 kes buli direkod di sekolah di Perak, manakala bagi tahun ini setakat Ogos sebanyak 49 kes direkodkan.
“Semua kes ini masih lagi terkawal dan bukan melibatkan kes berat,” katanya juga berkata tiada lagi budaya ‘kapla’ atau gangsterisme dikesan di sekolah di Perak ketika ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial