TAWAU, 7 Sept (Bernama) -- Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah dilancarkan hari ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana dan kecemasan, khususnya di kawasan yang mengalami gangguan atau ketiadaan talian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelancaran unit PRIME di Sabah itu menjadikan jumlah keseluruhan dua unit setakat ini, dengan satu lagi telah dilancarkan di Semenanjung Malaysia.
"Unit PRIME ini akan digunakan terutamanya apabila berlaku bencana dan akan membantu pasukan petugas untuk melaksanakan operasi, khususnya di kawasan yang terputus talian atau tidak mempunyai sebarang talian Internet.
"Kita ingat apabila tragedi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali (Selangor) dua tahun lepas, terdapat masalah talian Internet menyebabkan bukan hanya petugas keselamatan yang menghadapi masalah, tetapi petugas media juga menghadapi kesukaran … sekiranya unit PRIME digerakkan ke lokasi kejadian, maka masalah ini akan dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PRIME peringkat Sabah bersempena dengan program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi.
Fahmi berkata teknologi PRIME akan diperluas ke kawasan lain yang memerlukan, selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan kecekapan komunikasi semasa bencana.
Mengulas lanjut, beliau berkata PRIME juga akan digerakkan ke kawasan komuniti yang tidak mempunyai sebarang akses Internet dan sebagai permulaan, unit di Sabah akan digerakkan ke kawasan Parlimen Kalabakan bagi menyantuni penduduk yang tidak mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
"Kita akan membawa unit PRIME ke kawasan berkenaan dan melaksanakan pelbagai program seperti Kempen Internet Selamat, e-Kesihatan serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan komuniti," katanya.
PRIME ialah sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.
Sistem ini berupaya membantu operasi menyelamat semasa bencana bersama-sama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.
Terdahulu, pada program Hari Bersama Komuniti itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), serta surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial