AM

Komuniti MADANI Perlu Bantu Kerajaan Tangkis Fitnah - Fahmi

07/09/2025 06:03 PM

TAWAU, 7 Sept (Bernama) -- Komuniti MADANI di negara ini bukan sahaja berperanan sebagai jurucakap, malah perlu membantu kerajaan menangkis fitnah daripada terus berleluasa, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setakat ini terdapat 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara yang berfungsi menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat, selain menyalurkan maklum balas rakyat kepada kerajaan.

"Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai Komuniti MADANI dan di DUN Merotai sahaja terdapat tiga Komuniti MADANI. Oleh itu, sebagai Komuniti MADANI kita perlu membantu kerajaan terutamanya menangkis fitnah.

"Jangan sebarkan maklumat yang tidak sahih. Jika menerima sebarang maklumat, semak dahulu kesahihannya sebelum dikongsikan kepada orang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Kupi-Kupi Bersama Menteri Komunikasi di Kampung Sungai Imam di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Mengulas lanjut, Fahmi turut menggesa orang ramai agar berhubung dengan Komuniti MADANI sekiranya berdepan sebarang masalah.

"Jika ada masalah, rujuk kepada Komuniti MADANI dan mereka akan panjangkan isu berkenaan kepada kerajaan untuk tindakan seterusnya," katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Komunikasi komited memastikan rakyat mendapat akses internet berkualiti, sambil menasihatkan kemudahan itu dimanfaatkan untuk tujuan positif seperti perniagaan dan komunikasi keluarga.

"Saya kerap datang ke Sabah kerana mahu menyelesaikan masalah internet di negeri ini. Kita mahu pastikan semua rakyat mendapat capaian internet yang baik. Namun saya ingin ingatkan, gunakanlah internet untuk tujuan positif seperti berniaga atau berhubung dengan keluarga, dan jangan menyalahgunakannya untuk menyebar fitnah," katanya.

Fahmi turut menasihatkan golongan dewasa, khususnya warga emas agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan atau ‘scammer’ di media sosial.

"Kes penipuan ini banyak berlaku, contohnya ‘Love Scam’ yang menyebabkan kerugian besar. Ada lelaki yang menyangka berhubung dengan wanita cantik, namun hakikatnya ia hanyalah taktik penipuan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan