EKONOMI

Solarvest, Malakoff Tubuh Konsortium Bagi Projek Solar Di Perak

03/09/2025 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) dan Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) menerusi satu konsortium, telah memperoleh surat notifikasi daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (EC) untuk membangunkan loji fotovoltaik solar berskala besar (LSS) arus ulang alik (MWa.c.) 470 megawatt di Perak. 

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat-syarikat itu berkata konsortium yang merangkumi Malakoff (80 peratus kepentingan) dan Solarvest (20 peratus), telah disenarai pendek di bawah pelaksanaan pembidaan kompetitif LSS PETRA 5+ EC.

“Konsortium itu akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV), yang akan memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar dengan Tenaga Nasional Bhd untuk projek itu bagi tempoh 21 tahun,” kata Solarvest.

Sementara itu, Malakoff dalam maklumannya berkata projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu terhadap pengembangan tenaga boleh ubah dan mengukuhkan inisiatif peralihan tenaga bersihnya, seiring dengan objektif tenaga boleh ubah negara yang lebih meluas di Malaysia.

Kedua-dua syarikat berkata projek itu akan dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuti serta dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap perolehan dan aset bersih masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (Malakoff) dan 31 Mac 2025 (Solarvest).

Mereka berkata tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan