IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Yayasan Perak hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) bagi melaksanakan Program Diploma Kemahiran TVET Pengurusan Mutawif Umrah dan Ziarah, khusus untuk lepasan tahfiz negeri Perak.
Menurut kenyataan bersama Yayasan Perak dan UNIRAZAK, MoU itu ditandatangani melalui Akademi TVET UNIRAZAK (ATUR), pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia yang menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
“Program ini turut disokong secara strategik oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), khususnya dalam usaha memperkasakan pendidikan tahfiz di negeri ini.
“Kerjasama strategik ini membuka laluan pendidikan alternatif kepada lepasan tahfiz yang tidak melalui aliran akademik arus perdana sekali gus memperkasakan mereka dengan kelayakan profesional untuk menyumbang dalam sektor pelancongan Islam, dakwah dan ekonomi ummah,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad hadir merasmikan Program Empower Tahfiz Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-anak Tahfiz Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah.
Sementara itu, sebagai nilai tambah utama pelajar akan mengikuti praktikum eksklusif di Tanah Suci Mekah dan Madinah bagi memperoleh pendedahan dunia sebenar.
Komponen ini merangkumi pengurusan operasi ibadah, logistik jemaah, pematuhan syariah serta latihan lapangan bersama rakan industri berkaitan.
Bagi meringankan beban kewangan permulaan, Kerajaan Negeri Perak menyediakan tajaan pendahuluan berjumlah RM2,500 bagi 100 pelajar terawal sekali gus mempecepat penyesuaian pelajar kepada keperluan program.
“Program itu akan dimulakan sebagai projek rintis dengan penyertaan 100 pelajar, dan dijalankan secara berfasa bagi memastikan keberkesanan serta memberi impak yang nyata.
“Menerusi kolaborasi bersama UNIRAZAK melalui ATUR dan rakan strategik, para pelajar akan menjalani latihan industri, pendedahan keusahawanan serta bimbingan kerjaya yang menyeluruh, meliputi kemahiran teknikal, kompetensi perkhidmatan pelanggan dan persediaan kerjaya pascatamat pengajian,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Amil Izham berkata sebagai sebuah universiti swasta yang memegang tanggungjawab sosial, UNIRAZAK amat berbangga bekerjasama dengan Yayasan Perak dalam pelaksanaan program ini.
“Melalui ATUR, kami memastikan modul yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi piawaian JPK, tetapi juga menyediakan pendedahan industri dan bengkel praktikum di Tanah Suci.
“Kami yakin program ini akan melahirkan mutawif dan mutawifah yang berkemahiran tinggi, berakhlak mulia dan mampu membawa nama Perak ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Nasreen berkata program Empower Tahfiz itu menyediakan platform untuk anak-anak tahfiz di Perak melakar masa depan yang lebih cerah.
“Melalui program ini, mereka bukan sahaja cemerlang sebagai pewaris al-Quran, tetapi juga diyakini sebagai tenaga profesional dalam bidang umrah dan ziarah.
“Yayasan Perak berbesar hati menjadi peneraju inisiatif ini dan akan terus komited memperkasakan anak-anak tahfiz sebagai aset negeri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial