AM

Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 Dapat Pengiktirafan MBOR

03/09/2025 10:11 PM

JOHOR BAHRU, 3 Sept (Bernama) -- Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) yang  menghimpunkan 320 pelajar dan pensyarah seluruh Malaysia termasuk Indonesia, Thailand dan Brunei menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Projek Pemula Digital Terbanyak Pelajar Program Antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata DICE anjuran bersama kementerian itu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mempersembahkan sebanyak 64 projek kandungan digital kreatif meliputi animasi dan filem pendek, aplikasi interaktif media (VR/AR), serta aplikasi permainan digital.

Beliau berkata pengiktirafan itu mengangkat dan melahirkan bakat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya berdaya saing dalam menghasilkan kandungan digital kreatif.

“Ini satu kejayaan besar pada peringkat kebangsaan apabila dimasukkan dalam MBOR, golongan muda ketika ini mempunyai nilai kreativiti yang begitu hebat, memandangkan seperti mana yang kita tahu (tumpuan ekonomi) ketika ini banyak berdasarkan kepada ekonomi digital,” katanya pada sidang media selepas merasmikan DICE 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Dalam pada itu, Zambry berkata DICE berupaya membentuk ekosistem keusahawanan pelajar yang lebih dinamik, selaras dengan keperluan industri kreatif digital sekali gus memacu potensi usahawan IPT untuk bersaing di pentas global.

Beliau berharap pelajar yang terlibat dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman dan menjadikan DICE sebagai lonjakan pertama ke arah penghasilan produk digital kreatif bertaraf dunia.

Sementara itu, Fadzli dalam ucapannya berkata pengiktirafan MBOR  bukan sahaja membanggakan UniSZA sebagai tuan rumah, tetapi turut melonjakkan nama Malaysia dalam landskap kandungan digital kreatif serantau.

Beliau berkata DICE juga berperanan sebagai sebuah ekosistem latihan, bimbingan dan inkubasi bakat yang telah membuka jalan kepada penubuhan syarikat pemula pelajar serta projek berpotensi dikomersialkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan