PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak 13 projek loji jana kuasa solar berskala besar dengan kapasiti keseluruhan 1,975 megawatt arus ulang alik (MWac) diluluskan di bawah Program Solar Skala Besar - Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+), menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Dalam kenyataan hari ini, PETRA memaklumkan jumlah kapasiti yang diluluskan itu merupakan yang terbesar sejak program LSS diperkenalkan pada 2016, menjadikan keseluruhan kapasiti diluluskan setakat ini sebanyak 4,263MWac.
Menurut kenyataan itu, proses bidaan terbuka untuk kuota 2,000MWac yang dibuka Suruhanjaya Tenaga pada 20 Jan lepas menerima 37 permohonan dengan kapasiti ditawarkan mencecah 4,073MWac, iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kuota asal.
Daripada jumlah itu, PETRA memaklumkan 13 pembida yang mematuhi semua syarat permintaan untuk cadangan (RFP) telah dipilih bagi melaksanakan projek berkenaan.
"Pelaksanaan Program LSS secara bidaan terbuka berjaya melahirkan ramai pemaju solar tempatan yang berkeupayaan dan berpotensi untuk membangunkan loji jana kuasa solar pada kadar tarif yang kompetitif," menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan kelulusan kapasiti pembangunan solar di bawah LSS PETRA 5+ yang baharu itu dijangka menjana pelaburan RM6 bilion dan mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).
"Projek penjanaan solar berskala besar yang bakal dibangunkan ini akan mula menjana dan membekalkan elektrik mulai 2027 dan 2028.
"Ini termasuk antara projek solar terapung terbesar di negara ini dengan jumlah kapasiti 200MWac," menurut kenyataan itu.
LSS PETRA 5+ ditawarkan menerusi dua pakej iaitu loji jana kuasa solar di darat berkapasiti 30MWac hingga 500MWac dengan kuota keseluruhan 1,500MWac dan loji jana kuasa solar di badan air berkapasiti 10MWac hingga 500MWac dengan kuota 500MWac.
PETRA memaklumkan pelaksanaan inisiatif itu diyakini akan menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050.
Ia juga menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara, selaras dengan prinsip kemampanan Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial