DUNIA

Keselamatan Mahasiswa Malaysia Di Indonesia Terkawal - Persatuan Pelajar

02/09/2025 09:12 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) -- Keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia terkawal meskipun berlaku demonstrasi dan rusuhan di Jakarta serta beberapa wilayah lain di negara itu, kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat, Hans Joshua Peter.

Beliau berkata semua cawangan PKPMI di seluruh Indonesia sedang memantau rapi situasi semasa, sambil menekankan bahawa perpaduan dan disiplin adalah kunci utama keselamatan bersama.

“Setakat ini tiada insiden melibatkan pelajar Malaysia dilaporkan.

“Kita mengeluarkan garis panduan keselamatan antaranya mengelakkan kawasan demonstrasi, tidak bergerak bersendirian, sentiasa bawa dokumen penting dan berkongsi maklumat lokasi,” katanya kepada Bernama.

Hans berkata setiap cawangan PKPMI telah diminta berhubung dengan International Office universiti masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini dan memaklumkan pengurusan kampus agar membantu menjaga kebajikan.

PKPMI dan cawangan juga berkomunikasi dan menyediakan laporan harian serta berkerjasama dengan Education Malaysia (EM) di Indonesia dan Kedutaan Besar Malaysia untuk memastikan keadaan pelajar dipantau dan dapat dihubungi, katanya.

Hans berkata keselamatan dan kebajikan pelajar merupakan cabaran yang perlu dihadapi dalam situasi ini dengan keutamaan memastikan maklumat yang disalurkan tepat dan tidak menimbulkan panik.

“Kami perlu menenangkan kebimbangan keluarga di tanah air sambil mengurus keperluan pelajar di lapangan secara berterusan,” katanya.

Mengenai kesan demonstrasi, Hans berkata terdapat kelas yang ditangguh atau dialih ke platform dalam talian, namun secara umum proses pembelajaran masih berjalan dengan penyesuaian tertentu bergantung kepada universiti dan lokasi.

Beliau mengingatkan pelajar agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, menjaga keselamatan diri, dan terus fokus pada tujuan utama iaitu menuntut ilmu.

“Kami menyeru semua pelajar bertenang dan sentiasa berhubung dengan persatuan, cawangan atau Kedutaan sekiranya memerlukan bantuan,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lebih 1,200 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Indonesia. 

Zambry berkata berkata pihaknya melalui pejabat EM di Indonesia sentiasa menjalankan pemantauan rapi dan berterusan dengan kerjasama erat Kementerian Luar bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan