SHAH ALAM, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang meneliti penggunaan aplikasi pintar (super app) yang sesuai bagi menyelaras pelaksanaan sistem Selangor Intelligent Parking (SIP), kata Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Beliau berkata Jawatankuasa Infrastruktur Digital Negeri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu kini menunggu cadangan daripada pasaran bagi memastikan pelaksanaan sistem parkir pintar di seluruh Selangor berjalan lancar.
“Apabila operasi parkir ini diambil alih oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), kita berharap lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan letak kereta di seluruh Selangor kerana langkah itu dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Pada masa ini, kadar kutipan caj parkir di seluruh Selangor hanya sekitar 50 peratus. Bakinya tidak dapat dikutip kerana, seperti lazimnya, orang tidak akan membayar jika tiada penguatkuasaan. Oleh itu, kita memerlukan kaedah penguatkuasaan yang lebih kemas, seragam dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah Malaysian Book Of Records Flexi Parking di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata setakat ini kerajaan negeri tidak bercadang menaikkan kadar bayaran parkir, sebaliknya pelaksanaan sistem parkir pintar itu lebih memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan.
Beliau berkata anggaran kutipan tahunan caj parkir di seluruh Selangor kini berjumlah kira-kira RM100 juta, dan melalui pelaksanaan sistem kutipan yang lebih efisien jumlah itu boleh meningkat sehingga RM200 juta.
“Peningkatan hasil kutipan itu kelak boleh digunakan untuk menambah baik infrastruktur serta menguruskan petak parkir sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial