JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Johor muncul sebagai peneraju pelaburan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkualiti dan menyumbang sebanyak 78.6 peratus kapasiti teknologi maklumat (IT) operasi negara.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menyasarkan enam peratus kapasiti pusat data Malaysia akan berpusat di Johor menjelang 2030.
"Selari dengan perkembangan ini, kerajaan beraspirasi menjadikan Johor sebagai peneraju kecerdasan buatan (Al) dan ekonomi digital negara.
"Ini akan dicapai melalui pengintegrasian teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri serta pembinaan ekosistem digital inklusif dan mampan, agar manfaat teknologi dapat dirasai semua lapisan masyarakat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata gabungan infrastruktur pusat data yang berskala besar, kemajuan teknologi Al dan dasar kerajaan yang progresif akan turut meletakkan potensi Johor sebagai pusat inovasi digital serantau.
"Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup bangsa Johor melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baharu, dan penyelesaian pintar untuk cabaran harian rakyat," katanya.
Menerusi hantaran tersebut Onn Hafiz turut berkongsi bertemu Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri itu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pertemuan itu menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan Johor dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dan memastikan pembangunan pusat data dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan berimpak kepada rakyat.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial