KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu inklusif dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripadanya, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, sama ada melalui platform berasaskan awan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau diagnostik dengan bantuan AI untuk klinik terpencil, teknologi sedemikian perlu menyediakan nilai yang ketara kepada setiap rakyat Malaysia.
“Menerusi pelbagai inisiatif, kita memperkasakan rakyat Malaysia untuk bersaing dan meneraju ekonomi digital global merentas pelbagai sektor, seperti pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan, dan juga pelancongan.
“Bagaimanapun, produktiviti dipacu AI perlu memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia, tanpa ada sesiapa yang ketinggalan, dan kita perlu inklusif dan bekerjasama,” katanya pada ucaptama di Sidang Kemuncak Ekosistem AI Awan Huawei APAC 2025, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Gobind berkata membina "negara AI" di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memerlukan pengukuhan infrastruktur, meningkatkan keselamatan dan membangunkan bakat tempatan, dengan kerjasama memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat ini.
"Walaupun kita menyentuh tentang infrastruktur, keselamatan dan bakat, banyak yang boleh kita pelajari daripada industri dan rakan-rakan kita di rantau ini dan peringkat global tentang bagaimana negara, sektor dan industri lain membangun," katanya.
Sementara itu, beliau memuji Huawei Malaysia, antara lainnya, atas peranan proaktifnya dalam membentuk ekonomi digital Malaysia dan membangunkan bakat tempatan.
"Akademi ICT Huawei dan Pelan Pembangunan Bakat AInya, sebagai contoh, memupuk tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dilengkapi dengan kepakaran berkaitan industri untuk menampung permintaan pada masa hadapan.
"Saya gembira pameran infrastruktur awan AI-Native Huawei Malaysia, yang dibangun dengan kerjasama rakan kongsi tempatan, memperlihatkan bagaimana kerjasama boleh memacu kecerdasan dan meningkatkan seluruh sektor," katanya.
Gobind juga menegaskan kepentingan tadbir urus dan rangka kerja kawal selia untuk memastikan penggunaan AI yang selamat dan mampan, terutamanya ketika negara semakin bergantung kepada infrastruktur dipacu data.
"Jika anda membina negara yang bergantung sepenuhnya kepada data dan pusat data, maka kita tidak boleh ada gangguan yang boleh memberi kesan kepada semua sektor yang bergantung kepadanya," katanya.
Gobind berkata, kerajaan perlu bersedia untuk menyesuaikan dasar dan perundangan selaras dengan teknologi baharu sambil memastikan keselamatan tidak terjejas.
"Kemajuan teknologi telah berlaku sekarang. Kita perlu mula memikirkan hari ini tentang cara membina ekosistem yang akan memastikan dalam masa lima tahun, apabila teknologi baharu dilancarkan, Malaysia sudah bersedia untuk itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial