JASIN, 16 Ogos (Bernama) -- Empat lelaki ditahan kerana dipercayai merusuh dan bersenjata kayu serta jalur kuasa PDU di tepi jalan Jasin-Bemban di sini, semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam kejadian kira-kira 9 pagi, lelaki berusia 20 hingga 57 tahun itu antara tujuh suspek dipercayai terlibat dalam rusuhan yang turut melibatkan kemalangan tiga kenderaan di jalan raya berkenaan.
"Anggota bertugas di Balai Polis Bemban menerima panggilan telefon kira-kira 9 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku kemalangan di jalan tersebut dan pengadu telah nampak seorang lelaki memegang sebatang kayu.
"Dalam kejadian itu, dipercayai berlaku pergaduhan antara tujuh lelaki serta kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu dua daripadanya dinaiki kumpulan lelaki itu iaitu Wolkswagon Passat dan Mitsubishi Triton manakala satu lagi milik orang awam iaitu Toyota Vios," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata selepas pergaduhan berlaku, lima suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah lagi kereta iaitu Proton Exora warna perak gelap dengan nombor pendaftaran tidak pasti dan telah meninggalkan Mitsubishi Triton di tepi jalan.
Dzulkhairi berkata dua suspek ditahan di lokasi kejadian manakala dua lagi ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin semalam.
Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun itu mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah namun ujian air kencing terhadap kesemua suspek negatif dadah.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan tiga lagi suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial