AM

Pahang Negeri Pertama Hasilkan Beras Prebiotik

17/08/2025 12:59 AM

TEMERLOH, 16 Ogos (Bernama) -- Pahang muncul sebagai negeri pertama mengeluarkan beras prebiotik di negara ini menerusi produk dikenali sebagai Beras Pahang. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keistimewaan Beras Pahang ialah kandungan gulanya yang rendah dan sesuai untuk penghidap diabetes, selain diperkaya dengan prebiotik yang baik untuk kesihatan usus serta sistem penghadaman.

“Beras ini sudah berada di pasaran namun dalam jumlah terhad. Buat masa ini, kita utamakan jualan di Pahang sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya selepas merasmikan Mini MAHA Pahang 2025 di Dataran Temerloh, hari ini.

Difahamkan, beras yang ditanam di jelapang padi Ganchong, Pekan, itu lebih enak, wangi dan lembut dengan nutrisi semula jadi, selain dijual pada harga RM8 sekilogram sepanjang Mini MAHA Pahang 2025.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, program Mini MAHA Pahang yang pertama kali dianjurkan itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 80,000 pengunjung, dan akan diteruskan di lokasi berbeza setiap tahun.

Mengulas prestasi sektor pertanian negeri, beliau memaklumkan berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pahang kini penyumbang kedua terbesar sektor pertanian negara selepas Johor dengan nilai jualan mencecah RM25.12 bilion.

“Daripada jumlah itu, 88 peratus disumbang subsektor tanaman. Kelapa sawit mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM14.18 bilion, manakala sayur-sayuran dari Cameron Highlands menyumbang RM3.6 bilion.

“Durian Musang King pula mencatatkan nilai RM2.42 bilion dan pengeluaran susu segar sebanyak 9.05 juta liter bernilai RM47.25 juta menjadikan Pahang pengeluar tertinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Pahang turut menerajui industri ternakan bernilai tinggi seperti lembu wagyu, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pengeluar ternakan premium negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan